KPM perlu rujuk 4 elemen falsafah pendidikan

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyokong penuh dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Katanya, terdapat empat elemen falsafah pendidikan kebangsaan perlu dijadikan rujukan dalam membuat dasar berkaitan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek.

“Kalau kita lihat UPSR dan PT3 hanya memberi penekanan kepada satu falsafah pendidikan iaitu intelek dengan melalui akademik.

“Sebaliknya, kita perlu melihat kepada keempat-empat (falsafah pendidikan) secara holistik dan berkembang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memberitahu bahawa KPM tidak akan mengembalikan UPSR dan PT3 dalam masa terdekat.

Beliau memaklumkan bahawa fokus mahu diberi kepada pembangunan holistik murid melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Alimuddin menjelaskan, pelaksanaan PBS dapat melihat elemen lain yang ada di dalam diri murid seperti kokurikulum, kepimpinan dan sikap.

“PBS itu mencakupi semua elemen dalam falsafah pendidikan kerana ia dibuat berdasarkan keadaan persekitaran institusi pendidikan yang mana lokaliti setiap sekolah berlainan, ada yang di bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Pelaksanaan PBS bukan bermaksud tiada langsung penilaian sebaliknya pentaksiran terhadap pelajar itu masih diteruskan,” ujarnya.

Pada masa sama, Alimuddin menasihatkan orang ramai untuk tidak khuatir dengan ketiadaan dua peperiksaan itu.