RM150,000 diperlukan untuk fasa dua pembinaan masjid

Usaha menaik taraf Masjid Ar-Rahmah kini sedang giat dilaksanakan untuk keselesaan jemaah.
Usaha menaik taraf Masjid Ar-Rahmah kini sedang giat dilaksanakan untuk keselesaan jemaah.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengurusan Masjid Ar-Rahmah, Mukim Pangkal Kalong kini sedang berusaha meningkatkan prasarana masjid itu bagi memberi keselesaan kepada jemaah.

Imam satu masjid itu, Abdul Karim Mashor berkata, mereka bersyukur kerana banyak pihak memberi sokongan bagi membolehkan pembelian tanah bernilai RM290,000.

Beliau berkata, melalui sumbangan berkenaan, pihaknya bukan sahaja dapat membaik pulih kemudahan, malah menambah bangunan baharu di tanah yang baru dibeli itu.

“Kami juga berusaha menaik taraf masjid ini kerana peningkatan jemaah dan sebagai persediaan untuk aktiviti Ramadan.

“Kami mahu semua jemaah yang menunaikan solat dan melakukan aktiviti keagamaan di sini lebih selesa,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah beliau, setakat ini banyak perancangan dilakukan termasuk mengajak orang ramai berwakaf melalui sistem wakaf iaitu RM50 satu lot tanah.

Bagaimanapun, menurut Abdul Karim, usaha itu sudah selesai dan untuk fasa kedua memerlukan RM150,000 lagi bagi membolehkan kerja-kerja menambun tanah sebelum pembinaan masjid.

“Kita berharap naik taraf masjid dan pembinaan bangunan tambahan membolehkan jemaah lebih selesa terutama menjelang Ramadan tahun depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang berminat boleh menyumbang melalui akaun 0303-000099-3715 (Bank Muamalat) atas nama Masjid Ar-Rahmah atau hubungi 011-26386886 untuk maklumat lanjut.