Curi barang kemas ibu saudara akibat terjerat ah long

Barang kemas yang ditemui semula susulan tangkapan suspek wanita berusia 40 tahun di Taman Dagang, Ampang pada Selasa.
Barang kemas yang ditemui semula susulan tangkapan suspek wanita berusia 40 tahun di Taman Dagang, Ampang pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Ketagihan bermain judi hingga terjerat hutang ah long menjadi punca seorang wanita mencuri barang kemas ibu saudaranya di Taman Ampang Mewah, di sini sebelum diberkas polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kehilangan barang kemas bernilai RM77,500 itu disedari pemiliknya berusia 64 tahun kira-kira jam 4 petang pada Isnin.

Menurutnya, mangsa wanita tempatan itu mendapati bekas besi mengandungi barang kemas miliknya yang disimpan di dalam laci kemek dan bahagian kunci mangga telah dirosakkan.

"Bertindak hasil maklumat yang diterima, kira-kira jam 7 petang keesokan harinya, polis telah menahan anak saudara mangsa berusia 40 tahun dengan rampasan beberapa barang kemas di Taman Dagang, Ampang.

"Suspek mengakui mencuri emas tersebut. Wang hasil curi itu habis digunakan untuk membayar hutang ah long kerana bermain judi selain diguna untuk perbelanjaan harian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Sekiranya sabit salah, suspek boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan jenayah, mencuri dan sebagainya. Tindakan tegas undang-undang akan diambil sewajarnya," ujarnya.

Artikel Berkaitan: