Berkerusi roda tidak halang sertai Malaysia #QuranHour

Peserta Malaysia #QuranHour, Senut Othman, 82
Peserta Malaysia #QuranHour, Senut Othman, 82
A
A
A

PUTRAJAYA - Biarpun berkerusi roda, namun tidak menghalang semangat seorang warga emas untuk menyertai Malaysia #QuranHour yang diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, pada Selasa.

Senut Othman, 82, yang menetap di Dengkil berkata, faktor usia bukan alasan untuk tidak bersama mengimarahkan program tersebut, malah menjadi pembakar semangat untuk terus menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan.

Menurut Senut, seawal jam 10 pagi dia bersama beberapa ahli keluarga yang lain tiba di masjid berkenaan untuk menyertai program penuh bermanfaat tersebut.

"Anak perempuan, menantu bersama cucu bawa saya datang ke program ini dan sememangnya saya memang teruja nak ikut sebab saya rindukan suasana berkumpul bersama jemaah-jemaah dalam sebuah majlis agama.

"Alhamdulillah saya masih diberi peluang dan diberikan kesihatan untuk sama-sama membaca surah Al-Sajdah serta menghayati makna dari surah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian selepas program Malaysia #QuranHour di sini pada Selasa.

Penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Selasa bermula jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Malaysia #QuranHour 2022 mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dalam membina ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’

Sementara itu, Senut berkata, selain membaca dan menghayati al-Quran, program ini juga turut dapat mengeratkan silaturahim sesama peserta yang hadir serta menguatkan kembali hubungan ukhuwah umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, Malaysia #QuranHour merupakan satu program yang sangat memberi manfaat dari segi mengumpulkan kembali masyarakat selepas sekian lama tidak berjumpa berikutan pandemik Covid-19.

"Saya rasa seronok dapat bertemu dengan sahabat-sahabat baharu di sini dengan membaca surah secara beramai-ramai malah dapat menambah ilmu baharu tentang makna dari surah-surah disampaikan oleh pentadabbur," jelasnya.