Wilayah Persekutuan sasar juara Sukma 2022

Shahidan ketika majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur 2022 di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa. - Foto Majlis SukanWilayah Persekutuan
Shahidan ketika majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur 2022 di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa. - Foto Majlis SukanWilayah Persekutuan
A
A
A

KONTINJEN Wilayah Persekutuan diletakkan sasaran merampas gelaran juara keseluruhan daripada Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dari 16 hingga 24 September ini.

Sasaran itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang turut memaklumkan kontinjen Wilayah Persekutuan akan diperkuatkan seramai 603 atlet terdiri daripada 351 lelaki dan 252 wanita.

Katanya, kontinjen Wilayah Persekutuan akan mengambil bahagian dalam kesemua 31 sukan yang dipertandingkan, selain dua sukan demonstrasi - silambam dan kabaddi.

"Persiapan kita berada pada tahap 90 peratus, setiap sukan sedang menjalani latihan dalam fasa terakhir dan pada 6 September ini bakal diadakan majlis penyerahan bendera kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma ke-20.

"Kita telah letakkan matlamat, kita ingin jadi johan keseluruhan Sukma kali ini dan sebagaimana saya sebutkan Sukma ini penting dipertandingkan sebab latihan telah dibuat dan bagi mencari pelapis baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran kepada Persatuan Sukan Di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur 2022 di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata, pihaknya telah mengenal pasti kekuatan kontinjen Wilayah Persekutuan kali ini dan barisan atlet sudah bersedia untuk bersaing memburu kejayaan.

Beliau juga optimis Wilayah Persekutuan mampu bersaing dengan negeri-negeri kuasa besar Sukma seperti Terengganu, Johor dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana negeri lain bersaing di Sukma nanti, kita juga akan berada sama dan seiring dengan mereka terutama negeri yang 'power horse'," katanya yang memaklumkan kontinjen Wilayah Persekutuan turut dibarisi beberapa atlet kebangsaan.

Sebagai rekod, pada Sukma ke-19 Perak pada 2018, Wilayah Persekutuan menamatkan cabaran di kedudukan kedua dengan mengumpul 52 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa sementara Terengganu merangkul kejuaraan dengan pencapaian 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Pada Sukma ke-20,, sebanyak 426 pingat emas ditawarkan masing-masing 223 dalam acara lelaki, 184 wanita dan 19 campuran.

Kebanyakan venue bagi edisi ke-20 Sukma melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang - Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam - manakala hanya pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi. - Bernama