Melaka tarik pelaburan dari Jepun dan Taiwan

Adly (kanan) bersalaman dengan penjawat awam selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Adly (kanan) bersalaman dengan penjawat awam selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka bakal menerima pelaburan baharu dari negara Taiwan dan Jepun dengan nilai pelaburan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM8.5 bilion pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, usaha kedua buah negara itu dijangka akan mengikut jejak langkah Korea Selatan dan akan memberi impak besar kepada sektor pelaburan negeri termasuk akan menyediakan 3,925 peluang pekerjaan baharu terutama kepada rakyat tempatan.

Menurutnya, angka itu termasuk perbincangan bersama dua syarikat Jepun masing-masing membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM441 juta dan RM50 juta bagi perkilangan berkaitan pembungkusan serta percetakan selain RM3.5 bilion dan RM900 juta pelaburan daripada dua syarikat Taiwan yang membabitkan industri elektrik dan elektronik.

Katanya, usaha menggalakkan kemasukan pelabur dari luar negara itu lanjutan daripada kejayaan Korea Selatan yang berminat membuat pelaburan bagi membina sebuah hospital swasta di negeri ini.

"Kita akan memuktamadkan pelaburan baharu dari dua buah negara menerusi lawatan kerja ke negara Jepun dan Taiwan baru-baru ini, dengan menjangkakan nilai keseluruhan pelaburan RM8.5bilion.

"Lawatan ke Jepun dan Taiwan yang disertai Exco dan pegawai kerajaan negeri, menekankan tiga aspek penting iaitu pelaburan, pelancongan dan kesukarelawan yang melibatkan kebajikan," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan.

Artikel Berkaitan:

Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memanfaatkan perbincangan dan pertemuan dua negara itu dengan mewujudkan sebuah Reginonal Data Centre (Pusat Data Serantau) yang akan berpengkalan di negeri ini dengan jangkaan bakal menarik 3.5 bilion nilai pelaburan.

"Kita sedang berbincang dengan beberapa syarikat di Taiwan yang mempunyai syarikat di China dan Amerika, yang sukar untuk mengembangkan pelaburan mereka disebabkan pertembungan atau perang dagangan dua negara itu.

"Sekiranya kita dapat mengalihkan 'Reginonal Data Centre' mereka yang berpengkalan di USA ke sini, nilai pelaburan itu akan di bawa ke Melaka melibatkan pembuatan atau pembekalan barangan untuk Proton diangarkan RM3.5 bilion," katanya.

Tambahnya, kedudukan logistik Melaka yang strategik iaitu berdekatan negara Singapura dan Pelabuhan Klang akan menjadi faktor utama kepada tarikan pelabur selain kestabilan politik dan kepakaran sistem pendidikan yang sedia ada memberi kelebihan kepada Melaka untuk mencapai misi tersebut.