Nenek teruja pertama kali sertai #QuranHour

Mariam teruja pertama kali dapat sertai Malaysia #QuranHour.
Mariam teruja pertama kali dapat sertai Malaysia #QuranHour.
A
A
A

TAIPING - "Syukur sangat-sangat, dapat juga saya sertai program #QuranHour, selalu tu tengok kat televisyen dan dengar di radio saja."

Demikian perasaan teruja Mariam Ahmad, 72, apabila berpeluang menyertai Malaysia #QuranHour di Laman Toh Puan Halimah Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama di sini pada Selasa.

Nenek kepada sembilan cucu itu mengakui, sudah lama menyimpan hasrat untuk turut hadir menyemarakkan bacaan al-Quran secara beramai-ramai.

Bagaimanapun menurutnya, faktor usia dan kesihatan sedikit menghalang untuknya hadir sebelum ini.

"Ini pertama kali saya datang, kawan-kawan yang ajak. Memang seronok dan suasana lain daripada hanya menonton di televisyen.

"Di sini selain dapat baca al-Quran, kita dapat ilmu terjemahan dan mesej yang disampaikan daripada surah yang dibaca," katanya.

Sebahagian daripada 400 peserta yang mengikuti Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Taiping bersama Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama.
Sebahagian daripada 400 peserta yang mengikuti Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Taiping bersama Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama.

Mariam dari Changkat Jering antara 400 peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour anjuran Rumah Ngaji Taiping bersama Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini diadakan sempena Hari Kebangsaan 2022 secara serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Malaysia #QuranHour 2022 mengangkat Surah Al-Sajdah sebagai formula tangani isu kesombongan melalui sujud, sedekah dan sabar dalam membina Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Sementara itu, Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali berbesar hati menjadi tuan rumah bagi penganjuran kali ini dan berhasrat untuk meneruskannya sebagai acara tahunan di situ.

"Program sebegini perlu sokongan semua pihak supaya dapat disebar luas dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat merasai manfaat daripada bacaan al-Quran," katanya.