Remaja tidak bersekolah antara ditahan lumba haram

Cheng San menunjukan tiga lelaki yang ditahan pada sidang akhbar pada Selasa.
Cheng San menunjukan tiga lelaki yang ditahan pada sidang akhbar pada Selasa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiga lelaki termasuk seorang remaja ditahan dalam satu operasi khas mencegah samseng jalanan di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) pada jam 12.30 tengah malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, mereka yang ditahan berusia 17, 19 dan 21 tahun kini direman tiga hari bermula Ahad sehingga 30 Ogos.

Menurutnya, mereka ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT ketika berlumba sambil melakukan aksi superman yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Ketika operasi dijalankan, terdapat tiga penunggang motosikal berlumba antara satu sama lain dengan melakukan aksi superman di Lebuhraya BKE.

"Hasil pemeriksaan, ketiga-tiga mereka didapati tidak mempunyai lesen memandu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di sini pada Selasa.

Ujar beliau, selain remaja tidak bersekolah itu dua lagi yang ditahan merupakan pekerja kilang.

"Kesemua mereka sudah dijamin selepas tamat tempoh reman pada hari ini (Selasa). Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mereka juga negatif dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Cheng San berkata, selain tiga lelaki tersebut, polis turut menyita 20 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan.

"Dalam operasi sama, sebanyak 70 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, mengubah suai motosikal tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan sebagainya.

"Kita akan sentiasa menjalankan operasi di Lebuhraya BKE kerana ia merupakan kawasan'panas' pelumba haram menjalankan kegiatan tidak berfaedah. Kali ini, kita akan 'all out' untuk mencegah kegiatan lumba haram di daerah ini," katanya.

Beliau menambah, sejak penguatkuasaan lebih ketat dijalankan, peratusan mereka yang berlumba di Lebuhraya BKE menurun namun polis tetap mengadakan operasi terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.