Syor KPM tambah baik modul pendidikan anti rasuah

Norazlan (duduk tiga dari kanan) bersama pegawai SPRM, guru dan pelajar pada Program WAR SPRM Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena pada Selasa.
Norazlan (duduk tiga dari kanan) bersama pegawai SPRM, guru dan pelajar pada Program WAR SPRM Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dicadang menambah baik modul pendidikan anti rasuah dengan memasukkan elemen tambahan berkaitan kesedaran tentang kesalahan jenayah lain di dalam buku teks sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, pada masa ini modul diketengahkan itu hanya berkaitan anti rasuah.

"Pada pandangan saya silibus sedia ada mencukupi cuma apa yang perlu ditambah ialah elemen peningkatan integrati lain," katanya pada sidang akhbar selepas Program Wira Anti Rasuah (WAR) SPRM Negeri Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bedena di sini pada Selasa.

Norazlan berkata, pelajar perlu didedah kepada aspek lain bagi meningkatkan integriti dan menjadi insan berguna pada masa depan.

"Kita mengharapkan pelajar apabila mereka keluar dari alam persekolahan menjadi insan berguna kepada masyarakat dan tidak terlibat sebarang jenayah sama ada rasuah atau jenayah lain," katanya.

Justeru, katanya, SPRM juga berharap ada pihak berkuasa lain turut sama untuk membantu memantapkan dan memperkasa modul pendidikan sedia ada.

"Kita tidak mempunyai apa-apa halangan malah kita bersetuju jika silibus ini dikembangkan meliputi kesalahan lain antaranya jenayah seperti siber dan komersial," kata beliau.

Menurut Norazlan, program WAR yang dijalankan SPRM telah dilaksanakan di 155 sekolah rendah menengah di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program yang dijalankan sejak tahun 2014 itu turut mendekati murid-murid melalui pendekatan kurikulum dan elemen-elemen anti rasuah.

"Semasa pandemik Covid-19, Program WAR tidak terhenti begitu saja, sebaliknya beberapa aktiviti secara dalam talian telah diusahakan oleh Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM demi menyokong KPM sebagai peneraju inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023," ujar beliau.