Bayi maut: Wanita ditahan, suami dikesan bantu siasatan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AMPANG - Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelakinya di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, maklumat awal diterima mendapati mangsa dikejarkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan.

Menurutnya, pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati terdapat kesan lebam di paha kanan dan kening mangsa.

"Bayi berusia enam bulan itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang semalam (Isnin).

"Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan ibu mangsa warga tempatan berusia 34 tahun pada jam 8.40 malam di lobi hospital," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa anaknya ada mengalami kecederaan pada bahagian dahi dan kening akibat terjatuh dari katil semasa dalam jagaannya di rumah mereka di Kampung Klang Gate.

Katanya, ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai elektrik di ibu negara itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing turut bebas sebarang jenis dadah," katanya.

"Wanita itu kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pihak polis kini sedang berusaha mengesan suami wanita terbabit iaitu seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun untuk membantu siasatan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya ditalian 03-42897222," ujarnya.