BN perhalusi sistem kuota pembahagian kerusi

Mohamad menyerahkan plak PRU15 kepada Wan Rosdy sempena perjumpaan bersama komponen BN Pahang di Dewan Dato Sri Haji Abdul Manan Islam, Jalan Bypass Kuantan, pada Isnin.
Mohamad menyerahkan plak PRU15 kepada Wan Rosdy sempena perjumpaan bersama komponen BN Pahang di Dewan Dato Sri Haji Abdul Manan Islam, Jalan Bypass Kuantan, pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - BN akan memperhalusi cadangan supaya mengkaji semula sistem kuota pembahagian kerusi antara parti komponen sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua strategi akan dilaksanakan bagi memastikan parti Melayu terbesar itu terus menerajui semula negara.

"Ia (sistem kuota) satu perkara yang perlu diperhalusi secara logik akal. Jadi, apa sahaja langkah yang dibuat mesti betul untuk menang.

"Saya akan lihat perkara ini kerana perlu mengambil kira beberapa faktor lain untuk diperhalusi dengan begitu rapi dan baik," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama komponen BN Pahang di Dewan Dato Sri Haji Abdul Manan Islam, Jalan Bypass Kuantan di sini, pada Isnin.

Hadir sama Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama kepimpinan BN, Mohamad berkata, ia antara lain bagi membincangkan gerak kerja yang akan dilaksanakan menuju PRU15.

"Sebab itu, saya bersama kepimpinan Jawatankuasa Pilihan Raya BN turun ke setiap negeri untuk melihat tahap kesiapsiagaan BN negeri di Parlimen dan DUN.

"Jadi, semua formula dan gerak kerja di Parlimen dan DUN terpulang kepada parti komponen BN bagaimanapun untuk melaksanakan, ia mesti digerakkan sebagai jentera BN bukan mewakili parti masing-masing," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Mohamad menegaskan, BN telah membuat keputusan akan bersendirian menghadapi PRU15.

Menurutnya, walaupun ada pihak yang masih 'bergesel-gesel' untuk bersama BN namun parti berkenaan diminta jangan tergoda atau termakan pujuk rayu tersebut.

"Tidak akan selalu kita kena tipu. Berapa kali kita hendak kena tipu? Kita jangan putus atas dan perlu terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir," katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy dalam ucapannya mencadangkan BN mengkaji semula sistem kuota pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu strategi bagi menghadapi PRU15.

Wan Rosdy berkata, beliau menyasarkan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen dan 35 daripada 42 kerusi DUN pada PRU15 nanti.