Tok Mat sambut baik cadangan tubuh kerusi MN

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KEMAMAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menyambut baik syor supaya tidak berlaku pertembungan calon Pas dan UMNO di 27 kerusi yang berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau secara peribadi menyifatkan cadangan itu sebagai sesuatu yang baik, namun, tidak mengulas lanjut ketika ditanya sama ada UMNO bersetuju untuk duduk bersama-sama Pas bagi berbincang berhubung perkara itu.

Katanya, setiap keputusan melibatkan parti diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Setakat ini saya boleh kata ia satu pandangan yang baik kerana sebarang keputusan di peringkat parti bukan diputuskan oleh saya.

"Bagi saya ia satu pandangan yang baik. Jadi perkara ini akan dibincangkan di peringkat dalaman parti. Kita akan sama-sama kaji baik buruk pandangan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Terengganu di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat berkata, UMNO dan Pas perlu kembali ke meja rundingan bagi memastikan kedua-dua parti tidak bertembung antara satu sama lain di 27 kerusi itu.

Mohd Zuhdi turut mencadangkan kerusi terbabit dinamakan Kerusi Muafakat Nasional bagi mengambil semangat penyatuan ummah yang digerakkan oleh dua parti besar Melayu itu.

Beliau berkata, pada PRU14, 20 daripada 27 kerusi yang berada di Semenanjung itu terlepas ke tangan PH sehingga PH menguasai kerajaan selepas pilihan raya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tujuh daripada 27 kerusi itu amat berisiko untuk jatuh ke tangan PH pada pilihan raya kali ini disebabkan PH mengalami kekalahan tipis pada PRU14 lalu.