[VIDEO] RM1.5 juta bantu anak yatim akibat Covid-19 di Johor

Onn Hafiz (tengah) menyampaikan sumbangan Anak Johor Prihatin di Iskandar Puteri pada Isnin.
Onn Hafiz (tengah) menyampaikan sumbangan Anak Johor Prihatin di Iskandar Puteri pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak RM1.5 juta sudah dibelanjakan kerajaan negeri Johor bagi membantu 1,188 anak di negeri ini yang kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat Covid-19 sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT), Nurul Naqiah Fadzil berkata, perbelanjaan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM3 juta yang disalurkan kerajaan negeri menerusi Program Anak Johor Prihatin.

"Anak Johor Prihatin adalah satu daripada inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor. Program ini bertujuan memastikan anak-anak yatim piatu akibat Covid-19 dibantu dan mendapat sokongan moral serta disantuni sehingga mereka melanjutkan pengajian di kolej atau universiti.

"Antara bantuan diberikan ialah bantuan wang tunai berjumlah RM100 sebulan kepada anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa atau seorang daripada mereka akibat Covid-19, hingga mereka tamat persekolahan.

"Terdapat juga bantuan tunai RM2,000 setahun kepada anak yatim piatu yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insurans sehingga berumur 21 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran program Anak Johor Prihatin oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Artikel Berkaitan:

Nurul Naqiah
Nurul Naqiah

Dalam pada itu, Nurul Naqiah berkata, bagi mengenal pasti anak-anak serta pelajar yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19, YPKDT bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor.

"YPDKT juga bekerjasama rapat dengan sekolah di negeri ini supaya dapat mengenal pasti anak-anak serta pelajar dari golongan berkenaan.

"Menerusi inisiatif ini selain bantuan wang tunai dan insurans kesihatan juga pendidikan, kami turut menyediakan bimbingan kaunseling selain membawa mereka berekreasi termasuk ke taman tema, berkelah, kem motivasi atau menonton wayang supaya bebanan emosi mereka dapat dipantau," katanya.