Satu dari 20 kanak-kanak alami gangguan mental, tumbesaran

Dr Noor Azmi melancarkan Laporan Malaysia dan Infografik untuk penyelidikan di sebuah hotel, dekat sini pada Isnin.
Dr Noor Azmi melancarkan Laporan Malaysia dan Infografik untuk penyelidikan di sebuah hotel, dekat sini pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Satu daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun di negara ini dianggarkan mengalami gangguan mental dan tumbesaran.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiliti (NHMS) turut melaporkan, satu daripada lapan remaja berusia lapan hingga 10 tahun terbabit dalam isu sama.

"Kesihatan mental kanak-kanak dan remaja adalah antara yang paling banyak berlaku mengabaikan isu kesihatan di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Laporan Malaysia dan Infografik untuk penyelidikan yang bertajuk Strengthening Mental Health and Psychological Support (MHPPSS) System and Services for Children and Adolescents in the East Asia and Pacific Region, di sini pada Isnin.

Menurutnya, kanak-kanak dan remaja menanggung beban yang tinggi sekali gus menjadikan situasi kesihatan mental golongan itu berada dalam keadaan lemah.

"Antara faktor risiko kesihatan mental yang lemah adalah disebabkan pendedahan kepada keganasan, penganiayaan rakan sebaya dan buli, kesepian dan pengasingan sosial amat berleluasa," ujarnya.

Laporan kajian NHMS pada 2019 yang dijalankan setiap lima tahun mendapati seramai 424,000 kanak-kanak mengalami masalah mental dan tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, penyelidikan MHPSS yang dijalankan sejak Mei 2021 dengan tajaan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan penyelidik dari Australia turut menekankan jurang utama dan cabaran semasa yang dihadapi golongan itu.

"Ia termasuklah kesukaran akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, undang-undang dan polisi, koordinator antara sektor, serta penglibatan ibu bapa," ujar Dr Noor Azmi.

Tambahnya, KKM komited untuk menterjemahkan penemuan penyelidikan MHPSS ke atas dasar dan amalan.

"Semasa kita membangunkan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan untuk Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), KKM menggesa semua pihak berkepentingan bekerjasama agar penyelarasan dapat dilaksanakan terhadap golongan ini," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, kesihatan mental yang lemah boleh memberi kesan terhadap kesihatan, pembelajaran dan mengehadkan peluang golongan itu untuk mencapai potensi penuh diri mereka.

"Terdapat banyak keperluan untuk kanak-kanak dan remaja," katanya.

Ketika ini, KKM telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan 7,700 sekolah rendah dan 2,450 sekolah menengah di seluruh negara dengan menjalankan program penilaian kendiri.

Artikel Berkaitan:


"Ia bagi menilai tingkah laku kanak-kanak untuk memastikan sama ada mereka berdepan dengan masalah mental atau sebaliknya.

Penekanan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru telah diberi latihan pengurusan untuk menilai kesihatan mental," katanya.