Covid-19: Bulan Sabit Merah Malaysia terima dana RM5juta

Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah (tengah) berkenan menyerahkan replika kunci kereta pacuan empat roda kepada Pengerusi PBSMM Melaka Datuk Ramli Mohd Ali pada majlis lawatan ke Pejabat PBSMM Melaka, Bukit Peringgit, pada Ahad. - Foto Bernama
Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah (tengah) berkenan menyerahkan replika kunci kereta pacuan empat roda kepada Pengerusi PBSMM Melaka Datuk Ramli Mohd Ali pada majlis lawatan ke Pejabat PBSMM Melaka, Bukit Peringgit, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Usaha membendung jangkitan Covid-19 terus diperhebatkan dengan pemberian dana bantuan vaksin dan dos penggalak bernilai RM5 juta oleh kerajaan Australia menerusi persatuan Palang Merah Australia kepada Bulan Sabit Merah (BSM) Malaysia.

Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah (BSM) Malaysia Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, dana tersebut bertujuan membantu negara-negara terlibat dalam usaha membenteras wabak Covid-19 dan Malaysia memperolehnya hasil hubungan baik antara kedua-dua persatuan tersebut sejak sekian lama.

"Jadi Palang Merah Australia antara yang mendapat dana tersebut dan menyalurkannya kepada BSM Malaysia. Malah BSM turut menerima 10,000 dos vaksin pneumokokal untuk diberikan kepada individu yang memerlukan di negara ini.

"Justeru jika BSM negeri berhasrat melakukan program pengagihan kedua tersebut di kawasan pendalaman, kepada warga emas, kanak-kanak atau golongan tercicir, mereka dialu-alukan berhubung dengan ibu pejabat BSM," katanya.

Tunku Intan Safinaz yang merupakan Temenggong Kedah berkata, demikian kepada pemberita selepas melawat pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Melaka di Peringgit di sini, pada Ahad.

Sebelum itu beliau mendengar taklimat oleh Pengerusi BSM Negeri Melaka Datuk Ramli Mohd Ali dan berkenan menyerahkan kenderaan pacuan empat roda kepada BSM Melaka.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan semua kemudahan dan kelengkapan BSM Melaka dalam kesiapsiagaan mereka menghulurkan bantuan sekiranya berlaku bencana.

"Ini lawatan pertama saya ke BSM Melaka sejak dilantik pada 2018 dan saya melihat kemudahan bantuan seperti ambulans yang ada dapat disalurkan kepada masyarakat dengan baik semasa banjir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

"Syabas saya ucapkan pada usaha keras mereka dan dengan adanya kenderaan pacuan empat roda yang disumbangkan pada hari ini, ia diharap BSM Melaka akan lebih pantas dalam menghulurkan bantuan," katanya. - Bernama