RM965,000 baik pulih, bina baharu rumah nelayan di Melaka

Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan enjin sangkut bernilai RM10,000 kepada salah seorang nelayan di Jeti Nelayan Kuala Sebatu, pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan enjin sangkut bernilai RM10,000 kepada salah seorang nelayan di Jeti Nelayan Kuala Sebatu, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Sebanyak RM965,000 disalurkan kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bagi bantuan baik pulih dan bina baharu rumah nelayan di Melaka tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, peruntukan itu meliputi 57 rumah dibaik pulih dan lima lagi rumah dibina baharu yang telah siap sepenuhnya.

"PKPN ini merupakan bantuan diberikan kepada nelayan berpendapatan rendah dan dalam memastikan nelayan serta keluarga terlibat dapat menikmati kualiti hidup lebih baik dan selesa.

"Kos maksimum adalah RM13,000 bagi setiap komponen baik pulih rumah nelayan dan RM56,000 bagi komponen bina baharu rumah nelayan dengan pelaksanaan dilakukan secara gotong-royong melibatkan golongan sasar dan secara lantikan kontraktor,” katanya kepada pemberita di Jeti Nelayan Kuala Sebatu di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman dan Pengarah LKIM negeri Adib Syazwan Mohamad Hassan.

Pada majlis itu, Ahmad turut menyampaikan bantuan satu unit ‘winch' membabitkan peruntukan RM50,000 untuk kegunaan komuniti nelayan Sebatu dan satu enjin sangkut melibatkan peruntukan RM10,000.

Terdahulu, Ahmad turut menyempurnakan penyerahan empat bantuan baik pulih dan bina baharu rumah nelayan di Kampung Seri Minyak, Pulai, Kampung Tersusun Sungai Rambai dan Sebatu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!