PRU15: PBM kekalkan empat kerusi untuk bertanding

Larry (duduk, empat dari kiri) bersama Mohamaddin (lima dari kiri) dan Kamarazaman (empat dari kanan) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Ahad.
Larry (duduk, empat dari kiri) bersama Mohamaddin (lima dari kiri) dan Kamarazaman (empat dari kanan) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di empat kerusi yang dimiliki parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, keputusan itu telah dibuat sebelum ini dengan mengekalkan semua kerusi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedia ada dalam pilihan raya umum akan datang.

"Dalam PBM kita sudah buat keputusan terdahulu untuk mengekalkan kerusi ahli Parlimen dan ADUN yang sedia ada dalam PRU15. Jadi bila Mohamaddin sertai PBM dan ahli Parlimen lain (sertai), semua kawasan itu akan bertanding dalam PRU15.

"Semua kerusi kami sandang, sekarang kami ada Parlimen Ampang, Tebrau, Julau dan Lahad Datu. Ada empat dan ada ahli Parlimen lain akan sertai dan tambahan ahli Parlimen ini akan jadikan kerusi negeri (DUN) bukan hanya di Selangor dan Perak," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yacob.

Sementara itu, Mohamaddin turut menjelaskan bahawa kerusi yang disandangnya itu akan kekal menjadi milik PBM bagi berhadapan dengan pilihan raya akan datang.

"Tentu sekali, kalau saya sudah menyertai PBM bermakna calon itu akan bertanding atas logo PBM, namun untuk bertanding atau tidak, saya tidak boleh cakap kerana ini bergantung kepada keadaan.

"Kalau hati mahu bertanding tetapi masa itu kurang sihat mungkin tidak tanding tetapi semuanya bergantung kepada keadaan. Kita akan lihat apabila sudah sampai masanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercakap mengenai kerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat, Larry berkata, PBM menjadikan Parti Kuasa Rakyat sebagai rakan strategik dalam menghadapi PRU15.

"Dalam perlembagaan parti juga PBM akan buat satu komuniti untuk menukar perlembagaan parti supaya lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Saya rasa ini perkembangan yang positif kepada PBM untuk mengalu-alukan Parti Kuasa Rakyat.

"Kita juga memberi sokongan yang penuh kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kerajaan demi pembangunan Sabah, Sarawak dan Semenanjung," katanya.