'Kaitkan isu bantah konsert dengan rasuah tidak munasabah'

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengaitkan isu bantahan konsert artis antarabangsa dengan rasuah disifatkan sebagai tersasar dari mesej ingin disampaikan dan tidak munasabah.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan pada Sabtu menegaskan, isu bantahan mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa di Malaysia dengan rasuah tiada mempunyai sebarang kaitan.

“Adalah agak tidak munasabah jika anda ingin makan roti canai, tiba-tiba bermaksud anda tidak suka nasi lemak. Apabila anda tidak suka nasi goreng, tiba-tiba secara automatik adakah anda penggemar nasi beriani?

“Oleh itu YB Ahli Parlimen Klang, saya fikir argument tuan agak tersasar. Dalam isu konsert, secara jujur ingin saya nyatakan, masyarakat non muslim tidak perlu rasa terganggu sangat, perbincangan boleh dibuat.

"Isunya ialah ramai yang hadir juga terdiri daripada remaja Muslim dan itu membimbangkan kami,” katanya sebagai respons terhadap kenyataan Charles menggesa Pemuda Pas menganjurkan protes di seluruh negara terhadap rasuah dan bukan konsert artis antarabangsa.

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Klang itu dilaporkan mencabar Ahmad Fadhli untuk mengadakan protes besar-besaran membanteras skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Ia sebagai respons terhadap kata dua diberikan Ahmad Fadhli pada Khamis untuk menggerakkan bantahan di seluruh negara jika kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan konsert diadakan.

“Saya ada idea yang lebih baik. Idea saya adalah Pas sepatutnya menganjurkan protes besar-besaran di seluruh negara yang melibatkan atau menentang rasuah. Yang terbaru merupakan korupsi melibatkan LCS, (berjumlah) antara RM6 bilion ke RM11 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Saya gesa Pemuda Pas lakukan protes di seluruh negara dan saya jamin bahawa saya akan sertai mereka dalam protes itu,” sindir Charles dalam video yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan ia perlu dihormati.

“Dengan penuh hormat, jika anda ingin adakan protes isu LCS, silakanlah, kami tiada halangan. Adakah anda meminta kami adakan protes kerana anda sudah tidak cukup ahli untuk lakukannya?

“Dengan penuh hormat tuan, mari kita berbincang,” katanya.