Pembahagian kerusi, calon PRU15 siap dalam masa sebulan

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pembahagian kerusi membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama Pakatan Harapan (PH) akan diselesaikan dalam tempoh sebulan dari sekarang, kata Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, senarai pendek awal calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) parti itu juga dijangka dikeluarkan dalam tempoh yang sama.

Rafizi berkata, sekiranya perkara itu dapat dicapai, beliau yakin PKR akan dapat memberikan kejutan kepada UMNO dan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya yakin kalau satu bulan lagi kita terus boleh berlari dan memecut seperti ini, kita bukan sahaja mampu mempertahankan Selangor, kita akan mempertahankan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“...kita akan ada peluang untuk membentuk kerajaan dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihanraya PKR 2022 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Rafizi turut mengingatkan ahli untuk tidak melakukan sabotaj terhadap parti sekiranya tidak tercalon pada pilihan raya itu nanti.

“Sebab itu di ambang PRU15 perlu tetapkan niat, masuk pilihan raya bukan sebab jawatan. Saya sebut awal, kalau ada yang tidak dapat jadi calon, jangan kamu sabotaj (atau) buat hal.

“Kalau ada antara kita yang menang dan tidak dapat jawatan dalam kerajaan, jangan tikam belakang macam Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan kawan-kawan lain buat.

Artikel Berkaitan:

“Kita masuk PRU15 sebab ada tanggungjawab membaiki keadaan sebab kita ada anak, adik, cucu, mereka berhak mewarisi negara lebih baik. Tidak adil kita wariskan kepada mereka hutang, kepayahan dan kesusahan hanya kerana kita tidak mahu membetulkan keadaan,” katanya.