KBS teroka bidang kemahiran baharu untuk ditawarkan di ILKBS

Antara bidang kemahiran yang mendapat permintaan tinggi oleh pemain industri khususnya berkaitan teknologi mekanikal dan elektrikal. - Gambar hiasan
Antara bidang kemahiran yang mendapat permintaan tinggi oleh pemain industri khususnya berkaitan teknologi mekanikal dan elektrikal. - Gambar hiasan
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang meneroka bidang kemahiran baharu untuk ditawarkan di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sebagai usaha memastikan lepasan institusi itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan.

Pengarah Kemahiran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Shahrul Affendi Baharudin berkata, bidang kemahiran baharu itu perlu lebih terarah kepada penggunaan teknologi pintar menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang dapat menjadikan lulusan ILKBS mempunyai kemahiran khusus.

"Antara bidang itu termasuk teknologi solar, dron dan EV (kenderaan elektrik). EV ini seperti yang kita tahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi akan menjadi kenderaan yang menguasai jalan raya, jadi kita kena persiapkan ke arah itu.

"Jadi, lulusan institusi ini nanti akan mempunyai kemahiran yang lebih relevan sesuai dengan kehendak semasa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvokesyen ILKBS Ke-17 Zon Utara 2022 di Institut Kemahiran Belia Negara di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, ketika ini bidang kemahiran sedia ada yang ditawarkan di ILKBS masih berupaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang dikehendaki pasaran pekerjaan dengan kadar kebolehpasaran lulusan institusi itu pada masa ini mencecah 91.4 peratus.

Katanya, antara bidang kemahiran yang mendapat permintaan tinggi oleh pemain industri khususnya daripada sektor yang berkaitan adalah teknologi mekanikal dan elektrikal.

Terdahulu, Shahrul Affendi dalam ucapan perasmian konvokesyen itu berkata ILKBS juga menawarkan program jangka pendek dengan jaminan pekerjaan menerusi program 'Bootcamp' dan 'Skill for Youth (S4Y) pada tahun ini.

"Sebanyak 32 program Bootcamp dengan sasaran peserta seramai 449 orang diluluskan oleh KBS untuk dijayakan bersama pihak industri pada tahun ini melibatkan peruntukan RM1.99 juta, manakala 2,000 peluang latihan dan jaminan pekerjaan pula disediakan melibatkan peruntukan RM3 juta bagi fasa pertama program S4Y," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 680 graduan daripada bidang kemahiran seperti teknologi elektrik, teknologi elektronik, teknologi mekanikal, teknologi automatif, teknologi awam dan teknologi marin menerima sijil dan diploma pada majlis Konvokesyen ILKBS kali ini. - Bernama