Pemandu lori maut nahas dengan bas ekspres

Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di KM116 Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara, awal pagi Sabtu. - Foto Bomba
Anggota bomba membantu mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan di KM116 Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara, awal pagi Sabtu. - Foto Bomba
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer (KM) 116 Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, maklumat berhubung kemalangan tersebut diterima pada kira-kira jam 12.10 pagi.

Katanya, bas yang tidak membawa penumpang dan lori tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari arah Johor Bahru.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori berusia 46 tahun masuk ke laluan bas dari lorong kanan ke kiri menyebabkan bas terlanggar sisi hadapan kiri lori, lalu kedua-duanya terbabas ke sebelah kiri jalan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu bas berusia 29 tahun mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Muar untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Khairol Nizam Aresat berkata, seramai lapan anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa kemalangan.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori telah tersepit di bahagian bawah lori.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan operasi mengeluarkan mangsa dengan mengalihkan lori menggunakan perkhidmatan 'towing'," katanya.