Aaron-Wooi Yik mara ke final Kejohanan Dunia

Aaron (kiri) dan Wooi Yik mara ke final Kejohanan Badminton Dunia 2002. - Foto FB BAM
Aaron (kiri) dan Wooi Yik mara ke final Kejohanan Badminton Dunia 2002. - Foto FB BAM
A
A
A

GANDINGAN beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final badminton Kejohanan Dunia BWF setelah menewaskan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 20-22, 21-18, 21-16 pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama masa satu jam 17 minit di Gimnasium Metropolitan, Tokyo, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan gandingan beregu di ranking keenam dunia ketika ini melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas beregu dari India itu dengan enam kemenangan berturut-turut sejak 2017 lalu.

Seperti diramal, aksi di set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua gandingan beregu berkenaan saling berkejaran mata bagi memenangi set berkenaan.

Bagaimanapun, gandingan Rankireddy-Shetty yang berada di ranking ketujuh dunia ketika ini dilihat bijak memanfaatkan kesilapan-kesilapan dilakukan Aaron-Wooi Yik untuk menang 20-22.

Begitupun pada set kedua menyaksikan Rankireddy-Shetty pula banyak melakukan kesilapan dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaiknya gandingan negara, Aaron-Wooi Yik.

Aaron-Wooi Yik turut memperkemaskan permainan masing-masing bagi mencatatkan kemenangan 21-18 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Seperti set pertama, set ketiga turut berlangsung sengit dengan menyaksikan kedua-dua beregu saling berkejaran mata dalam usaha memenangi pertemuan berkenaan dan merebut slot beraksi di pentas final.

Bagaimanapun Aaron-Wooi Yik dilihat berjaya memanfaatkan segala pengalaman serta kelebihan yang dimiliki bagi mencatatkan kemenangan 21-16.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi final yang dijadualkan berlangsung esok (Ahad), Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu ranking ketiga dunia dari Indonesia,

Gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan mara ke final setelah menewaskan beregu senegara, yang juga beregu ranking kelima dunia, Fajar Alfian-Muhamamd Rian Ardianto 23-21, 12-21, 21-16 dalam masa 52 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.