Masukkan penolong pegawai farmasi dalam skim bersepadu

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

ALOR SETAR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan memasukkan skim perkhidmatan penolong pegawai farmasi dalam skim bersepadu.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, antara skim perkhidmatan lain yang perlu dimasukkan termasuklah Juruteknik Makmal Perubatan.

Menurut Adnan, pihaknya memohon kepada kerajaan untuk melihat kembali skim itu bagi membolehkan skim perkhidmatan berkaitan berada dalam skim bersepadu.

“Sebelum ini, kita telah ada skim bersepadu iaitu Gred 29, 32, 36, 42, 44, 48 dan seterusnya. Hanya lima skim bersepadu sahaja yang telah diluluskan kerajaan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 27 Tahun 2005.

“Pada hari ini, kita telah berada pada tahun 2022 bermakna kita telah 17 tahun tertinggal dengan skim-skim yang setara dengannya, yang mana kelayakan kemasukan adalah diploma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Farmasi Kerajaan Semenanjung Malaysia (KKPPFKSM) di sebuah hotel pada Jumaat.

Beliau berpandangan, pada masa sama ramai penolong pegawai farmasi juga didapati telah memiliki ijazah semasa mereka berkhidmat.

Adnan berkata, disebabkan itu, Cuepacs memohon kepada pihak kerajaan untuk memastikan skim perkhidmatan ini dimasukkan dalam skim bersepadu seperti perjawatan lain dengan kelayakan masuk diploma.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan akan mengumumkan berita gembira menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos ini.

“Cuepacs masih belum menerima apakah berita gembira tersebut walaupun sebenarnya kami telah membincangkan bersama dengan Perdana Menteri pada 13 Jun lepas,” katanya.

Menurut Adnan, pihak mereka secara dasarnya menyambut baik berita gembira sekaligus berharap kerajaan mampu menunaikan tuntutan Cuepacs sebagaimana dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum ini.

“Kami mengambil maklum kekangan kewangan yang telah dihadapi oleh kerajaan selepas negara menempuh tempoh pandemik dua tahun yang agak panjang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada 2020,” katanya.

Bagaimanapun bagi Adnan, kerajaan juga diharapkan bersimpati dengan penjawat awam yang ketika ini rata-rata amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Tambah beliau, Cuepacs juga telah memberikan cadangan balas pada Jumaat bagi memuktamadkan perkara yang akan diumumkan Perdana Menteri pada 30 Ogos nanti.

Beliau memaklumkan, antara tuntutan termasuklah kerajaan diharapkan memperkenalkan gaji minimum yang baharu kepada penjawat awam.

Katanya, kerajaan telah memperkenalkan gaji minimum RM1,500 kepada sektor swasta, maka gaji minimum baharu juga perlu diletakkan untuk penjawat awam.

“Adalah amat janggal, kerajaan hanya memperkenalkan gaji minimum baharu kepada pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta sedangkan kerajaan sendiri selaku majikan terbesar tidak memperkenalkan gaji minimum untuk sektor awam,” katanya.