'Inilah harga pengorbanan' - Najib

Catatan Najib bertarikh 22 Ogos yang disiarkan di laman Facebook pada Jumaat
Catatan Najib bertarikh 22 Ogos yang disiarkan di laman Facebook pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan hukuman penjara sedang dihadapinya merupakan ‘harga’ sebuah pengorbanan yang terpaksa dibayar setelah berada dalam dunia politik selama hampir 46 tahun.

Najib berkata, sepanjang bergelar wakil rakyat dan penjawat awam, beliau berjuang untuk membela nasib rakyat meskipun ada yang tidak menghargainya.

“Sepanjang masa ini, saya hanya mahu berikan usaha terbaik saya. Malah membela kelangsungan hidup rakyat pada masa terdesak dan amat memerlukan dengan penyediaan Skim Insurans Pekerjaan dan berjuang untuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

“Tidak pernah meninggalkan rakyat. Tidak mengapa jika tiada yang menghargai. Saya ikhlas memimpin Malaysia.

“Saya sudah berikan yang terbaik, saya cuba sehabis baik. Tidak mengapa jika tiada yang menghargai. Hanya ALLAH SWT yang maha mengetahui, memahami pengorbanan saya sepanjang perjalanan ini,” tulisnya dalam satu catatan bertarikh 22 Ogos yang disiarkan di laman Facebook pada Jumaat.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung kes penyelewengan dana SRC International.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib.

Dalam pada itu Najib berkata, hanya ALLAH yang memahami pengorbanannya ketika memikul bahtera UMNO dan BN yang mempunyai berjuta ahli.

Artikel Berkaitan:

Najib berkata, dalam perjalanannya membangunkan negara, beliau gembira kerana banyak pencapaian dilakar.

“Merakyatkan kerajaan dan memberikan segala yang ada kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Ke pengorbanan peribadi saya – masa dan keluarga, dari fajar subuh hingga ke senja mentari.

“Kini berhadapan dengan dugaan yang berat menguji saya dan keluarga. Saya hadapi. Mungkin inilah harga pengorbanannya,” katanya.