Kajian penganjuran Bon Odori ambil masa enam bulan

Ahmad Shahir (kiri) menyerahkan perjanjian kepada salah seorang penyelidik pada Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di Dewan Anggerik, Hotel De Palma, Seksyen 19 di Shah Alam pada Jumaat.
Ahmad Shahir (kiri) menyerahkan perjanjian kepada salah seorang penyelidik pada Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di Dewan Anggerik, Hotel De Palma, Seksyen 19 di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kajian penganjuran Festival Bon Odori di Selangor dijangka mengambil tempoh masa selama enam bulan.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, kajian yang mula dilaksanakan pada 8 Julai lalu itu perlu dilaksanakan secara terperinci sepertimana perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut beliau, penyelidikan itu diketuai seorang ketua penyelidik bersama lima lagi penyelidik lain daripada pelbagai universiti.

"Kumpulan pensyarah (penyelidik) terlibat mesti melengkapkan kajian mereka dalam tempoh enam bulan.

"Dari segi gerak kerja penyelidikan ini, ia sama seperti kajian lain yang sedang dan telah MAIS laksanakan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Perjanjian Penyelidikan Tahun 2022 dan Serahan Laporan Hasil Penyelidikan Tahun 2021 di Dewan Anggerik, Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini pada Jumaat.

Ahmad Shahir berkata, hasil penyelidikan berkaitan festival yang dihasilkan itu diharap dapat diselesaikan secara lebih mendalam.

Ujar beliau, bagi memenuhi keperluan itu, kumpulan penyelidik itu turut melaksanakan skop kajian di beberapa negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang dan telah pun sampai ke Jepun untuk melihat sendiri festival tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita menunggu hasil kajian ini bagi mengenal pasti unsur keagamaan dan kebudayaan terhadap sambutannya di Malaysia dan negara Jepun," katanya.

Ahmad Shahir berkata, sehingga kini MAIS telah menghasilkan kajian penyelidikan berkaitan isu hal ehwal Islam di negeri ini bermula tahun 2019.

Beliau memberitahu, kajian penyelidikan itu meliputi beberapa bidang dan tumpuan utama kemaslahatan ummah yang melibatkan sosial dan ekonomi di negeri Selangor.

"Antara tumpuan skop pengajian ialah perkara-perkara yang melibatkan akidah, syariah, dakwah, perundangan keluarga, tadbir urus dan muamalat.

"Melalui kajian yang dijalankan, MAIS adalah sebagai pusat sehenti bagi melaksana dan menyelia setiap penyelidikan yang ingin dijalankan oleh Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS," katanya.