Tidak menang tangan jahit tanjak merdeka

Norwilia menunjukkan tanjak yang dijahit menggunakan gabungan kain berasaskan warna Jalur Gemilang.
Norwilia menunjukkan tanjak yang dijahit menggunakan gabungan kain berasaskan warna Jalur Gemilang.
A
A
A

KUALA NERUS - Kehadiran Bulan Kemerdekaan memberi limpahan rezeki buat seorang tukang jahit apabila tidak menang tangan menghasilkan tanjak dengan gabungan kain mengikut warna Jalur Gemilang.

Norwilia Mohd Zawawi, 37, dari Kampung Bukit Tunggal, di sini berkata, tanjak tersebut mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada pelanggan di seluruh negara selepas diiklankan dalam laman sosial, Facebook sejak minggu lalu.

Menurut beliau, dalam tempoh tersebut, sebanyak 1,500 tanjak berjaya dijual kepada pelanggan dengan setiap satu berharga antara RM20 hingga RM35 bergantung kepada aksesori tambahan seperti kerongsang.

"Ini pengalaman pertama saya jahit tanjak selepas diminta seorang rakan untuk kegunaan aktiviti anaknya di sekolah. Dengan melihat cara lipatan tanjak yang dihasilkan orang lain, saya akhirnya berjaya dan memuat naik tanjak itu di Facebook.

"Tidak sangka ramai yang berminat untuk membeli dan tempahan meningkat secara mendadak hingga saya terpaksa menjahit tanjak dari pagi hingga ke petang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya di Bukit Tunggal, pada Khamis.

Norwilia (kiri) melayan pelanggan yang datang membeli tanjak di kedainya.
Norwilia (kiri) melayan pelanggan yang datang membeli tanjak di kedainya.

Norwilia yang merupakan seorang pengusaha bantal dan tilam kekabu sejak lima tahun lalu berkata, hampir 200 tanjak dapat dihasilkan setiap hari dengan bantuan enam pekerja dan ia turut dijual melalui Shopee serta 30 ejen.

Jelas ibu kepada lima cahaya mata itu, perkembangan tersebut menyebabkan dia terpaksa menghentikan sementara pembuatan produk kekabu bagi memberi sepenuh tumpuan kepada jahitan tanjak.

Artikel Berkaitan:

"Tanjak ini istimewa kerana saya jahit menggunakan gabungan fabrik mengikut warna jalur gemilang seperti merah, biru, putih dan kuning, bukan dari kain bendera.

Norwilia menjahit tanjak di kedainya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.
Norwilia menjahit tanjak di kedainya di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

"Saya tidak sangka sambutan diterima begitu tinggi dan kebanyakan pelanggan adalah pelajar yang mahu gunakan tanjak untuk program kemerdekaan di sekolah selain impak filem tayangan Mat Kilau di pawang sebelum ini," katanya.

Norwilia berkata, dia bersyukur kerana dapat menonjolkan kreativiti dalam seni jahitan dan berhasrat untuk menghasilkan tanjak serta samping menggunakan songket pula pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

"Saya harap perniagaan ini dapat dikembangkan lagi pada masa akan datang dengan penghasilan pelbagai produk berasaskan jahitan kreatif," katanya yang turut mendapat sokongan dari suaminya, Mazlan Ramli, 38.