Abdul Azeez sakit perut, keputusan rayuan ditangguh

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Keputusan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengetepikan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya ditangguhkan ke 5 September.

Ia selepas peguam perayu, Amer Hamzah Arshad memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak jam 2 pagi Jumaat.

"Anak guam saya kini berada di PPUM kerana acute gastroenteritis," katanya di hadapan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said pada Jumaat.

Hakim yang turut bersidang, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Amer Hamzah dalam pada itu memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung representasi untuk menarik pertuduhan tersebut.

"Pihak kami telah menghantar permohonan tersebut pada 27 Jun dan sehingga kini masih tiada jawapan," ujarnya.

Justeru Kamaludin mengarahkan AGC agar segera memberi jawapan terhadap permohonan perayu.

"Kami harap Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) atau sesiapa menjawab permohonan tersebut. Kalau tolak, tolak lah, jika tidak tergantung seperti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seraya itu, responden yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron berdiri dan memaklumkan beliau akan penyampaian perkara itu kepada AGC.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan kes bagi mengetahui status keputusan rayuan tersebut dan juga perkembangan representasi dan tarikh itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Ahli Parlimen Baling itu di dakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Januari 2019 atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuh Raya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB di sini pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.