Polis rampas dadah bernilai RM30.8 juta di Bentong

Ramli (dua dari kanan) dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar (kanan) pada sidang akhbar kes rampasan syabu di IPD Bentong pada Khamis.
Ramli (dua dari kanan) dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar (kanan) pada sidang akhbar kes rampasan syabu di IPD Bentong pada Khamis.
A
A
A

BENTONG - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 841.06 kilogram yang dianggarkan bernilai RM30.8 juta selepas menumpaskan satu sindiket dalam dua serbuan di Bentong pada 20 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket tersebut dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran bagi pasaran antarabangsa dan tempatan.

Menurutnya, dalam serbuan antara jam 9 malam hingga 11 malam itu, pihak polis berjaya menahan tiga lelaki warga emas berusia 61, 62 dan 63 tahun di tepi jalan di kawasan Kampung Bukit Tinggi, Bentong.

"Hasil tangkapan suspek membawa kepada penemuan sebuah rumah di Taman Anggerik, Bentong yang dijadikan stor sindiket sekali gus membawa kepada rampasan sejumlah 841.06 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM30.8 juta.

“Menerusi serbuan itu juga pihak polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock di dalam kereta suspek serta satu laras senjata api tiruan bersama empat kelopak peluru, 50 butir peluru hidup, 17 butir peluru 12 bore, dan dua batang besi barrel.

“Dari siasatan kami mendapati senjata yang dirampas kemungkinan digunakan sebagai jaminan buat suspek dalam melakukan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini pada Khamis.

Ujar Ramli, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dianggarkan bernilai RM5,000, wang tunai berjumlah RM1,564 dan wang di dalam akaun bank RM6,623.65 turut dirampas dalam serbuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga suspek yang merupakan warganegara tempatan itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek pertama berusia 61 tahun dan suspek ketiga berusia 63 tahun bekerja sebagai pekebun durian manakala suspek kedua berusia 62 tahun merupakan seorang penganggur.

"Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos ini," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sindiket tersebut melakukan penyeludupan dan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke pasaran antarabangsa disyaki ke negara serantau selain melakukan pengedaran pasaran tempatan.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun ini dengan ketiga-tiga suspek merupakan kenalan lama.

Tambahnya, mereka dipercayai mengambil dadah dari luar dan menjadikan rumah terbabit sebagai tempat simpanan dan bungkusan sebelum diedarkan.

“Kami percaya ketiga-tiga suspek bukan dalang sindiket ini dan pihak JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” kata beliau.