1,000 atlet Pahang terima bayaran 'one-off' RM300

Wan Rosdy bersama atlet Pahang selepas Majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete dan pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang pada Khamis.
Wan Rosdy bersama atlet Pahang selepas Majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete dan pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan RM300,000 kepada 1,000 atlet negeri ini kerana mengharumkan nama negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan peruntukan itu, kesemua atlet menerima bayaran sekali bayar sebanyak RM300 seorang.

Menurutnya, sumbangan itu diberikan sebagai menghargai atlet yang berhempas pulas berjuang untuk mengharumkan nama negeri dan negara.

"Ini salah satu cara untuk kita menghargai atlet yang bersungguh-sungguh menaikkan nama Pahang dan Malaysia. Jadi, saya dengan sukacitanya mengumumkan sumbangan RM300 setiap atlet.

"Kita juga berhasrat untuk mewujudkan satu garis panduan bagi mengukur dan mengiktiraf kemajuan serta pencapaian sukan anak-anak Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Pahang Pride Athlete Dan pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Pahang di sini pada Khamis.

Mengulas pelancaran Pahang Pride Athlete, Wan Rosdy berkata, program itu diyakini bakal melahirkan atlet Pahang yang berprestasi tinggi pada masa depan.

Jelasnya, malah matlamat utama adalah untuk menjadikan Pahang sebagai hub sukan atau pusat tumpuan kepada kemajuan sukan di Pantai Timur.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dengan segala perancangan, peruntukan dan pelaksanaan pembangunan atlet ini, kita mampu melahirkan lebih ramai jaguh bertaraf dunia dalam semua bidang sukan," ujar beliau.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan RM8.2 juta kepada golongan itu.

Tambahnya, peruntukan itu bagi membantu 1,000 atlet dan penggiat sukan di negeri ini menceburi bidang keusahawanan.

"Kita harap dengan peruntukan ini dapat membantu mereka menjana pendapatan," kata beliau.