Pahang selesai bayaran bantuan khas sebelum Aidilfitri

Wan Rosdy (dua dari kanan) menyampaikan bantuan khas Aidilfitri kepada wakil penerima pada majlis penyerahan itu di dewan Kompleks MBK pada Rabu.
Wan Rosdy (dua dari kanan) menyampaikan bantuan khas Aidilfitri kepada wakil penerima pada majlis penyerahan itu di dewan Kompleks MBK pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Pembayaran Bantuan Khas Aidilfitri kepada enam kategori penerima yang layak dijangka diselesaikan sebelum hari raya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembayaran akan dilaksanakan segera bagi membolehkan penerima menggunakan wang tersebut untuk membuat persiapan hari raya.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM13 juta untuk bantuan khas itu dengan lebih 25,684 penerima keseluruhannya.

"Kita minta bayaran ini disegerakan mengikut pembayaran secara bersemuka di majlis penyerahan seperti hari ini.

"Jika tidak sempat penerima khususnya warga pesara mungkin boleh mendapatkan wang bantuan itu melalui pejabat daerah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Aidilfitri di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, bantuan itu merupakan lebihan peruntukan daripada hasil kerajaan negeri yang dikembalikan kepada rakyat.

Beliau berkata, selain bantuan khas Aidilfitri kepada enam kategori itu, bantuan lain akan tetap dihulurkan kepada penerima yang layak.

Sebelum ini, kerajaan Pahang mengumumkan pemberian bantuan tunai antara RM200 hingga RM1,200 kepada enam kategori penerima di negeri ini sempena Aidilfitri.

Kategori penerima pertama terdiri 8,000 penjawat awam negeri yang bakal menerima RM1,200.

Turut menerima bantuan itu, 700 anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diikuti 4,500 pesara kerajaan negeri dan 7,000 ibu tunggal miskin dengan bantuan tunai RM200 seorang.

Bantuan RM200 hingga RM500 diperuntukkan kepada 2,773 penerima terdiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKKR), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Tok Batin dan Setiausaha JPKK.

Terbaharu Wan Rosdy mengumumkan bayaran bantuan itu kepada 2,711 penerima kategori keenam terdiri iman, bilal dan siak di seluruh Pahang membabitkan peruntukan RM640,200.