KPPK sasar penggunaan lada tempatan di semua hotel

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin (kanan) melihat produk SARASPICE selepas merasmikan produk itu di pejabat baru SaraSpice, pada Khamis.- Foto Bernama
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin (kanan) melihat produk SARASPICE selepas merasmikan produk itu di pejabat baru SaraSpice, pada Khamis.- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan penggunaan lada tempatan di semua hotel di seluruh negara, kata menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, Lembaga Lada Malaysia (MPB) juga perlu memastikan produk berasaskan lada dipelbagaikan bagi meningkatkan hasil dagangan di peringkat global.

"Kita mahukan lada tempatan digunakan di hotel, terutamanya hotel terkemuka. Di hotel, mereka menyediakan set lada dan garam, justeru jika kita boleh lakukan itu di negara ini, kita boleh meningkatkan penjualan lada Sarawak.

"Buat masa ini, produk lada masih terhad kepada serbuk dan biji. Jadi MPB bertanggungjawab untuk pastikan ada cukup bekalan lada dan bagaimana untuk pelbagaikan produk lada, contohnya produk lada bagi laksa Sarawak,” katanya selepas Majlis Pelancaran Semula SaraSpice Sdn Bhd di sini, pada Khamis.

Zuraida berkata, anak syarikat MPB itu berpotensi untuk meningkatkan nilai pesanan produk lada mereka kepada RM30 juta dari Jun hingga hujung tahun ini, berbanding RM13 juta pada enam bulan pertama tahun ini.

Beliau juga berkata, MPB akan bekerjasama dengan pengusaha kecil tanaman lada bagi membangunkan sebuah model estet mini untuk meningkatkan penanaman lada secara kecil-kecilan.

Katanya, secara keseluruhan tanaman lada negara melibatkan 7,700 hektar tanah dan produk lada di Malaysia kini melibatkan 70 peratus lada hitam dan 30 peratus lada putih. - Bernama

Artikel Berkaitan: