KPDN, KPKM bekerjasama pantau bekalan beras seluruh negara

Salahuddin meninjau kemasukan beras tempatan pada Operasi Jamin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di sebuah pasar raya pada Jumaat. - Foto Bernama
Salahuddin meninjau kemasukan beras tempatan pada Operasi Jamin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di sebuah pasar raya pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Op Jamin, bagi menguat kuasa dan memantau bekalan beras di seluruh negara.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penguatkuasa KPKM iaitu Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dan Penguatkuasa KPDN melalui Op Jamin, akan melakukan pemeriksaan di peringkat pengilang padi atau beras, pemborong dan peruncit sama ada di pasar raya besar atau kedai runcit di seluruh negara.

"Pemeriksaan ini bagi memastikan keterjaminan bekalan beras putih tempatan dan beras putih import sentiasa mencukupi dengan harga yang terkawal,” katanya kepada pemberita di Pasar Raya Giant, Batu Caves di sini, pada Jumaat.

Salahudin dalam masa sama berkata, pihaknya akan melaksanakan Op Jamin tersebut selama sebulan dan akan melakukan pemeriksaan di 162 kilang memproses beras putih.



Selain itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menukar bungkusan atau label beras putih tempatan serta menjual dengan harga beras putih import.

"KPDN dan KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit, agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan, termasuklah tidak mengambil kesempatan dengan melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan beras putih tempatan kepada beras putih import dan dijual pada harga yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah KPB, Datuk Azman Mahmood berkata, pihaknya telah menerima satu aduan di Selangor, dan telah mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga beras tempatan daripada RM26 kepada RM26.60.

"Daripada tangkapan tersebut, kita telah membuat rampasan dan kita telah dakwa mereka di mahkamah... tentang aduan berkenaan isu penukaran bungkusan beras pula belum ada aduan rasmi,” katanya. - Bernama