MAIK belanja RM95.3 juta wang agihan zakat

Tengku Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang penerima pada Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun Tahun 2022 di Hotel Perdana, Kota Bharu pada Khamis.
Tengku Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang penerima pada Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun Tahun 2022 di Hotel Perdana, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus amanah dan berintegriti tinggi menerusi perbelanjaan zakat berjumlah RM95.3 juta daripada RM117.7 juta jumlah terimaan zakat terkumpul bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perbelanjaan tersebut meningkat 14 peratus lebih tinggi dari tahun sebelumnya.

"Perbelanjaan program asnaf fakir dan miskin mencatat pecahan terbesar dalam program agihan zakat iaitu RM39 juta, diikuti RM37 juta untuk asnaf fisabilillah.

"Manakala RM2.6 juta bagi perbelanjaan pendidikan, asnaf mualaf (RM2.06 juta), penerbitan dan promosi (RM48,748) dan Maahad Tahfiz al-Quran MAIK (RM262,766)," katanya kepada pemberita semasa sidang media pada Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK bagi Januari hingga Jun Tahun 2022 di Hotel Perdana di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, jumlah perbelanjaan bagi agihan pelbagai zakat RM21.4 juta melibatkan sumbangan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) (RM1.25 juta), Kolej Universiti Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) (RM100,000), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) (RM600,800) dan lain-lain agihan.

Menurutnya, bagi penerimaan zakat pula, MAIK mencatatkan peningkatan 29 peratus iaitu RM117.7 juta berbanding tahun sebelumnya RM91 juta.

Tengku Mohamad Rizam berkata, segmen terbesar terimaan zakat ialah pendapatan (RM62.2 juta), perniagaan (RM22.7 juta), wang simpanan (RM13.8 juta), zakat fitrah (RM10 juta) dan lain-lain zakat (RM8.7 juta).

"Peningkatan terbesar dicatatkan oleh zakat fitrah dengan kenaikan 104 peratus iaitu berjumlah RM5.1 juta berbanding tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Untuk rekod 33 peratus pembayar berumur 31 hingga 40 tahun menjadi kelompok terbanyak dalam menyumbangkan zakat kepada MAIK," ujar belaiu.

Beliau berkata, ia menjadi isyarat bahawa generasi muda mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menunaikan sebahagian Rukun Islam ini.