Kitaran inovasi perlu dipercepat untuk pastikan daya saing

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kitaran hayat inovasi perlu dipercepatkan dalam dunia hari ini, menyaksikan idea boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi baharu dan mengubah medan permainan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keupayaan untuk menggunakan perpustakaan awan sedia ada dan perkhidmatan inovatif lain akan mempercepatkan kitaran inovasi dan meningkatkan kestabilan prototaip dan produk akhir.

"Selain itu, fleksibiliti infrastruktur awan menyediakan konfigurasi infrastruktur dinamik jika terdapat sebarang peningkatan dalam permintaan penggunaan sebaik sahaja sistem digunakan kepada orang ramai. Ciri ini menyediakan ketersediaan yang tinggi untuk pengalaman pengguna yang lebih baik," katanya ketika berucap di majlis AliBaba Cloud Day 2022 dan pelancaran Digital Heroes Programme di sini, pada Khamis.

Adham berkata, dengan melibatkan penyedia awan seperti Alibaba Cloud, kitaran inovasi boleh bermula serta-merta disebabkan infrastruktur awan yang telah tersedia ada.

Beliau menambah bergantung kepada kitaran inovasi, projek itu boleh dimulakan dengan memperuntukkan bajet yang lebih rendah untuk prototaip berskala kecil dan meningkatkan peruntukan apabila ada keperluan.

"Sejak beberapa tahun yang lepas, Alibaba Cloud telah membantu banyak syarikat baharu dan usahawan tempatan dengan menyediakan landas pelancaran yang menghubungkan mereka dengan pemodal teroka antarabangsa.

"Alibaba Cloud turut menyokong mereka dengan sumber pengkomputeran awan supaya syarikat-syarikat ini boleh memberi tumpuan kepada inovasi dan mengecap kejayaan," katanya.

Beliau seterusnya berkata, dengan meningkatnya bilangan penyedia infrastruktur awan, kerajaan akan mempunyai keupayaan untuk memilih penyelesaian inovasi yang paling kos efektif dan serasi secara teknikal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Adham berkata, Digital Heroes Programme pula adalah evolusi Program Pemerkasaan Akademik Awan Alibaba (AAEP) iaitu satu inisiatif yang mengukuhkan bakat digital yang sedang berkembang melalui penyertaan institusi pendidikan bertauliah.

Berdasarkan program amali dan inisiatif AAEP semasa, beliau berkata, program berkenaan merangkumi tiga bidang utama baharu iaitu: MY Digital Talent in U Competition, Nationwide University Tour dan Student Ambassador.

"MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) sebagai kementerian yang diamanahkan untuk memartabatkan sains, teknologi dan inovasi komited untuk mencipta kemakmuran dan kekayaan yang mampan kepada negara, menyokong penuh inisiatif daripada Alibaba," tambahnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence untuk Malaysia Kun Huang berkata, pusat utama program itu bukan sahaja untuk menyediakan pelajar tempatan dengan pengalaman digital yang inovatif, tetapi juga untuk Alibaba mencipta kumpulan bakat digital yang mampan yang akan menyumbang kepada ekosistem perniagaan tempatan. - Bernama