KL City idam kejayaan lebih besar

Pemain KL City meraikan kejayaan mengatasi PSM Makassar dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto AFC
Pemain KL City meraikan kejayaan mengatasi PSM Makassar dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto AFC
A
A
A

SELEPAS dinobatkan sebagai 'Raja Asean' dalam saingan Piala AFC musim ini, Kuala Lumpur (KL) City FC tidak mahu sejarah yang dicipta mereka itu terhenti hanya di situ sahaja.

Sebaliknya pengendali skuad ‘Warga Kota’ Bojan Hodak mengidamkan penamat yang indah sama seperti yang dilakukan ketika Piala Malaysia pada musim lepas.

Justeru Bojan berharap momentum kemenangan pasukannya di pentas AFC itu dapat diteruskan apabila beraksi di pentas separuh akhir Antara Zon selepas ini.

“Piala Malaysia sebelum ini adalah satu kisah dongeng, sama seperti yang kita lalui dalam saingan Piala AFC pada musim ini. Setiap kisah perlu ada penamat jadi kita teruskan mimpi kita dalam Piala AFC.

“Jadi saya dan pasukan berharap dapat penamat yang indah (bagi Piala AFC). Ini sesuatu yang tidak kita jangkakan kerana kita adalah pasukan yang kecil di Malaysia tetapi kami adalah pasukan yang bekerja keras.

"Sesiapa pun yang menanti kita pada pusingan seterusnya, kita akan berdepan lawan yang sukar kerana pasukan yang mara sudah pasti adalah pasukan yang sangat baik,” katanya selepas perlawanan pada Rabu.

Sebelum ini KL City FC muncul juara selepas membelasah kelab Liga Indonesia, PSM Makassar, 5-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kemenangan itu menyaksikan KL City menjadi kelab pertama Malaysia memenangi fasa Zon ASEAN selepas kejuaraan tersebut distruktur pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Bojan turut mengakui defisit gol yang banyak yang diraih KL City pada perlawanan itu memberi kesan kepada mentaliti pemain sehingga menyaksikan PSM Makassar hampir melakukan kebangkitan semula.

Bagaimanapun, beliau memuji semangat yang ditunjukkan anak buahnya yang berjaya menyekat kebangkitan dengan menjaringkan dua gol lagi.

“Pada babak kedua dengan kedudukan 3-0, pemain mungkin sudah mula memikirkan bahawa perlawanan sudah berakhir dengan kemenangan. Bagaimanapun, mentaliti itu dihukum lawan dengan membolehkan mereka menjaringkan dua gol.

“Bagaimanapun keasyikan lawan untuk mencari gol penyamaan itu dihukum oleh kami semula dengan melakukan serangan balas pantas, yang berjaya menghasilkan dua gol," katanya.