KPDNHEP Kedah rampas 1,280 liter diesel dipercayai diseleweng

1,280 liter diesel bersubsidi dipercayai diseleweng dirampas dalam serbuan di sebuah stor tidak berlesen di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Rabu. - Foto ihsan KPDNHEP Kedah
1,280 liter diesel bersubsidi dipercayai diseleweng dirampas dalam serbuan di sebuah stor tidak berlesen di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Rabu. - Foto ihsan KPDNHEP Kedah
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 1,280 liter diesel bersubsidi dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah stor tidak berlesen di kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini, pada Rabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 petang tersebut, pasukan serbuan menahan sebuah kepala lori bernombor pendaftaran Thailand yang telah siap mengisi penuh minyak diesel.

Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, dua warga tempatan masing-masing berumur 56 dan 50 tahun dan seorang pemandu lori warganegara Thailand turut ditahan dalam serbuan di sebuah stor yang disyaki menyimpan bahan api tanpa lesen itu.

“Hasil siasatan mendapati tempat tersebut baru diwujudkan dan dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel.

“Minyak ditemui di stor dipercayai dibeli daripada beberapa stesen minyak di sekitar Kubang Pasu sebelum dijual semula kepada lori daripada Thailand,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau memaklumkan, taktik ini dipercayai digunakan disebabkan penguatkuasaan yang ketat ke atas larangan mengisi minyak diesel bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing di stesen-stesen minyak.

“Susulan itu, 1,280 liter minyak diesel yang berada di dalam stor berkenaan telah disita. Turut disita bekas-bekas yang digunakan untuk mengisi minyak yang disita, pam, hos, generator dan lori," katanya.

Affendi menjelaskan, nilai rampasan dianggarkan RM207, 004 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Pejabat KPDNHEP Alor Setar menerima serahan kes penyelewengan diesel bersubsidi tersebut daripada Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) daripada Cawangan Gerakan dan Risik Briged Utara PGA dan Risik Batalion 2 PGA Kulim Kedah.