Rokok, arak, daging sejuk beku seludup bernilai RM5 juta dirampas

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Mohammad Sabri Saad(tengah) menunjukkan antara hasil rampasan menerusi beberapa siri serbuan dan operasi yang dijalankan.
Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Mohammad Sabri Saad(tengah) menunjukkan antara hasil rampasan menerusi beberapa siri serbuan dan operasi yang dijalankan.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras dan daging sejuk beku berjaya dibongkar menerusi beberapa siri operasi dan serbuan yang dijalankan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan sejak 14 Julai lalu.

Operasi yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ini melibatkan barangan rampasan bernilai RM5,002,565.60 serta melibatkan cukai sebanyak RM33,587,357.90.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata, serbuan pada 14 Julai dan 28 Julai, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih yang membabitkan empat empat buah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

"Aktiviti penyeludupan ini berjaya dibongkar menerusi pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas didapati wujud imej yang meragukan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kontena tersebut bermuatan rokok putih yang disyaki tidak mempunyai lesen import yang sah semasa dagangan diimport," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, serbuan berikutnya dijalankan di sebuah kawasan parkir berdekatan Taman Ideal Township, Seremban, Negeri Sembilan pada 8 Ogos.

"Pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah lori yang diletakkan di kawasan tersebut menjumpai sejumlah rokok putih yang disyaki barang larangan.

"Rokok putih yang dirampas merupakan barang larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 42,060,000 batang rokok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Sabri berkata, sepanjang bulan Ogos pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras yang membabitkan lapan buah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor.

"Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut bermuatan minuman keras yang disyaki tidak mempunyai lesen import yang sah semasa diimport.

"Minuman keras yang ditahan merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 113,698.92 liter," katanya.

Mengulas mengenai rampasan melibatkan daging sejuk beku, serbuan dijalankan Kawasan Perindustrian PKNS Pandamaran, Pelabuhan Klang menemukan 27,860 kilogram daging sejuk beku.

"Daging berkenaan ditemukan dalam sebuah treler yang ditinggalkan di kawasan tersebut.

"Pemeriksaan yang dijalankan gagal menemui sebarang dokumen pengimportan bagi menunjukkan dagangan tersebut dibawa masuk secara sah ke Malaysia," katanya.

Tegasnya, kesemua kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

"Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.