Perhilitan siasat kematian lelaki diserang haiwan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang menyiasat kejadian lelaki yang maut diserang haiwan di Kampung Merua, Parit, pada Isnin.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, siasatan dilakukan di lokasi kejadian pada Selasa, namun pihaknya belum dapat mengenal pasti haiwan yang telah menyerang mangsa.

"Saya tidak boleh komen lanjut kerana tidak pasti haiwan apa sama ada anjing atau babi namun, kakitangan telah turun ke lokasi.

"Berdasarkan rekod, Perhilitan tidak menerima aduan gangguan babi hutan sepanjang tahun 2022 di kampung terbabit.

"Kita hanya terima laporan dari kampung bersebelahan iaitu Kampung Bukit Chupak," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau turut menasihatkan penduduk untuk menjaga kebersihan di sekeliling rumah bagi mengelak gangguan hidupan liar.

"Orang ramai bersihkan semak samun dan menguruskan sampah terutama sisa makanan dengan baik dan teratur.

"Sebaiknya, urus sampah jauh sedikit dari pekarangan rumah bagi mengelak hidupan liar seperti babi hutan dan kera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan polis mengesahkan lelaki yang ditemukan dengan kesan luka di leher maut kerana kehilangan darah akibat serangan haiwan.

Pemeriksaan luaran pada mayat mangsa, Norzi Jaafar, 58, luka pada mangsa berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya berikutan menemukan beberapa helai bulu di sekeliling luka di bahagian muka kiri dan leher.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kehilangan darah yang serius disebabkan serangan haiwan, jangkitan covid-19 dan saluran darah tersumbat.