Pelbagaikan sistem pengangkutan awam di Melaka: Mohd Ali

Mohd Ali memberikan tabik hormat kepada kawalan kehormatan Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri dekat Ayer Keroh, pada Rabu. - Foto Bernama
Mohd Ali memberikan tabik hormat kepada kawalan kehormatan Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka di Dataran Seri Negeri dekat Ayer Keroh, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam mencadangkan agar kerajaan negeri mempelbagaikan mod sistem pengangkutan awam di negeri itu dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

Beliau berkata, penambahbaikan itu termasuk menaik taraf kemudahan berkenaan kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.

"Sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka terus menjadi tumpuan pengunjung apabila negara beralih ke fasa endemik dan melalui pemerhatian saya, kebanyakan pelancong cenderung memilih untuk menaiki kenderaan sendiri bagi mengunjungi kawasan-kawasan tarikan.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri perlu menarik minat orang ramai untuk menjadikan pengangakutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan dengan menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan," katanya ketika berucap pada Hari Pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-73 2022 di Balai Istiadat Seri Negeri di sini pada Rabu.

Pada isitiadat sesi pertama penganugerahan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama dan beliau mendahului 347 senarai penerima.

Mohd Ali Rustam berkata, selain itu, jumlah laluan dan frekuensi laluan bas perlu ditingkatkan agar tempoh menunggu dan akses laluan lebih relevan, sesuai dengan kehendak pengguna.

Beliau berkata, Panorama Melaka turut disaran meningkatkan bilangan bas serta mencari peluang memudahkan akses kepada perkhidmatan penggunaan teknologi yang diintegrasi dengan perancangan perjalanan serta pembayaran digital.

Katanya, adaptasi pengangkutan mikromobiliti perlulah dijadikan satu daripada mod pengangkutan di Melaka sejajar dengan perubahan teknologi terkini dan pihak berkuasa tempatan perlu memudah cara penggunaan teknologi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri diharap dapat menyegerakan pelaksanaan Projek Rintis Rangkaian 5G melibatkan 133 lokasi di negeri itu pada tahun ini dalam usaha merapatkan jurang digital.

"Saya menyambut baik peluang yang diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Digital Nasional Berhad dalam melaksanakan usaha ini seterusnya meningkatkan kualiti rangkaian," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam ucapan taat setia sempena istiadat berkenaan berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rancangan boleh pinda Pertama tahun ini, Melaka telah menerima peruntukan berjumlah RM359 juta untuk pelaksanaan 169 projek.

Beliau berkata, di bawah RMK12, Rancangan boleh pinda Kedua tahun ini pula, sebanyak 181 projek pembangunan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.610 bilion telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM571 juta.

"Pada tahun hadapan pula, kita merancang dan menyusun semula projek sedia ada agar lebih menepati setiap kumpulan sasar terutama projek-projek secara penswastaan khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka atau M-WEZ.

"Selain itu, kita juga akan panjangkan permohonan projek kepada kerajaan persekutuan melalui permohonan Rancangan boleh pinda Keempat RMK12 bagi pelaksanaan 2024," katanya. - Bernama