Gambar kontroversi, PM Finland minta maaf

Sanna Marin - Foto AFP
Sanna Marin - Foto AFP
A
A
A

HELSINKI - Perdana Menteri Finland, Sanna Marin memohon maaf pada Selasa selepas tersebarnya gambar kontroversi yang dirakamkan di kediamannya baru-baru ini.

Gambar yang diedarkan oleh media Finland itu menunjukkan dua wanita sedang bercium dan menanggalkan baju mereka, sekali gus menunjukkan tubuh masing-masing.

Kejadian itu berlaku kurang seminggu selepas wanita berusia 36 tahun itu dikritik ekoran tularnya satu video yang menunjukkan beliau sedang berpesta.

Berhubung gambar itu, Marin mengesahkan pada Selasa bahawa ia dirakamkan di kediaman rasminya di Kesaranta selepas beliau menghadiri festival muzik yang berlangsung pada bulan lalu.

"Saya rasa gambar itu tidak sesuai, saya minta maaf untuk itu. Gambar seperti itu tidak sepatutnya diambil," kata Marin kepada pemberita di Helsinki.

Gambar itu pertama kali diterbitkan di akaun TikTok oleh bekas peserta Miss Finland.

Marin mendapat liputan akhbar pada minggu lalu apabila satu rakaman video yang tersebar menunjukkan beliau menari dan berpesta dengan sekumpulan rakan dan selebriti.

Didorong oleh kontroversi itu, Perdana Menteri itu mengambil ujian dadah pada Jumaat lalu dan sampel air kencingnya menunjukkan keputusan negatif.

Artikel Berkaitan:

Marin yang memegang jawatan itu pada tahun 2019 ketika berusia 34 tahun sebelum ini telah menjadi sasaran kritikan kerana berparti di kediaman rasminya.

Pada Disember 2021, beliau dikritik selepas didedahkan beliau menari sehingga awal pagi. - Agensi