DELIMa berwajah baharu, tingkatkan kualiti PdP guru dan murid

A
A
A

Mohd Radzi (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa): Agenda Digital Kita di Dewan Perdana Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada Isnin.
Mohd Radzi (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian Pendidikan Malaysia Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa): Agenda Digital Kita di Dewan Perdana Putra, Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada Isnin.



PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkasakan platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru serta murid di sekolah.

Timbalan Pengarah Sektor Pelantar Pembelajaran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Dr Wagheeh Shukry Hassan berkata, platform berwajah baharu itu kini lebih memberi fokus kepada persekitaran pembelajaran yang bersifat individu.

Katanya, dengan melayari DELIMa kesemua aplikasi dan servis yang disediakan dalam portal berkenaan akan berubah mengikut kesesuaian pengguna kerana keperluan untuk guru dan murid adalah berbeza.

“DELIMa didatangkan dengan ciri baharu menggabungkan tiga aspek utama iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.

“Aspek-aspek ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, bertujuan membantu murid merasai pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna.

WAGHEEH SYUKRI
WAGHEEH SYUKRI

“Kita juga memperkenalkan ciri baharu seperti kesejahteraan diri (yang bersifat) digital iaitu sekiranya ada guru atau murid berasa tertekan sewaktu sesi PdP, mereka boleh klik di situ dan merakam perasaan mereka pada hari berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelantar Pembelajaran Digital KPM DELIMa: Agenda Digital Kita di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Majlis pelancaran dilakukan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Diterima baik

DELIMa merupakan pelantar pembelajaran digital KPM yang dibangunkan untuk mengupayakan sesi PdP dalam talian. Diperkenalkan pada 1 Julai 2019 menerusi Bilik Darjah Google, kini diterima baik murid serta guru.

Sehingga 4 Ogos lalu, 99 peratus guru dan 85 peratus murid menggunakan DELIMa dalam PdP secara aktif melibatkan 5.3 juta pengguna, merangkumi semua guru dan murid di sekolah-sekolah di bawah KPM.

Mohd Radzi sempat melawat reruai pada majlis berkenaan.
Mohd Radzi sempat melawat reruai pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Wagheeh Shukry berkata, KPM turut berdepan cabaran untuk meningkatkan kompetensi digital bagi guru dan murid dalam sistem pendidikan negara.

Jelasnya, melalui DELIMa kementerian menyediakan pelbagai kursus dalam talian dan secara bersemuka untuk memastikan guru berupaya mendidik murid menggunakan teknologi baharu.

“Kursus disediakan secara hibrid dalam DELIMa untuk membantu guru mendapatkan idea dan bahan (pembelajaran) melalui pelbagai pendekatan bagi sesi PdP dalam talian,” ujarnya.

Tambahnya, DELIMa direka agar ia boleh diakses oleh guru dan murid pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di kawasan luar bandar.

“Ini salah satu daripada objektif DELIMa iaitu menyediakan pengekodan kursus dan pelbagai program yang boleh digunakan oleh sekolah di luar bandar. Melalui portal ini kita dapat menyebarkan maklumat terkini untuk murid-murid bandar dan luar bandar,” katanya.

Cabaran pengguna

Jelas Wagheeh Shukry, akses kepada Internet dan peranti untuk melayari DELIMa merupakan antara cabaran yang dihadapi murid terutamanya di sekolah luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Dari segi penerimaan (terhadap platform ini), saya rasa tiada perbezaan. Namun, terdapat cabaran dari segi jenis peranti yang digunakan dan akses Internet. Jika murid tidak mempunyai kemudahan, maka sukar untuk mereka menggunakannya.

“Bagi murid luar bandar yang ada akses Internet dan peranti, kebanyakannya menggunakan DELIMa sebab mereka tahu perisian ini bagus untuk mereka pelajari bersama-sama guru,” katanya.

Mohd Radzi beramah mesra dengan murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada Isnin.
Mohd Radzi beramah mesra dengan murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) pada Isnin.

Sementara itu katanya, sebelum ini seramai 150,000 pelajar di seluruh negara telah menerima peranti seperti komputer riba, tablet berserta sambungan data menerusi Program Cerdik KPM.

Ujarnya, inisiatif KPM ini mampu membantu murid-murid untuk akses kepada platform DELIMa bagi tujuan pembelajaran.

DELIMa yang menggunakan rangkaian perkhidmatan disediakan oleh Google Workspace for Education termasuk Bilik Darjah Google sebagai aplikasi utama.

Jelasnya, perkhidmatan ini diperluas setelah Microsoft Malaysia menyertai pelantar itu bermula 1 Januari 2020 dengan penyediaan aplikasi dan perkhidmatan Microsoft.

“Mulai Mac 2022, Apple Malaysia pula menjadi rakan kongsi dengan menawarkan kandungan digital.

Melalui kerjasama ini, KPM berjaya menggabungkan tiga syarikat gergasi teknologi dunia untuk sama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berharap agar program ini membantu meningkatkan kebolehpasaran murid pada masa hadapan, ditambah dengan kecenderungan penggunaan teknologi dalam pelbagai sektor ketika ini.

“Kita berdepan pelbagai cabaran dan bagaimana hendak menggunakan teknologi untuk berdepan dengan situasi itu pada masa akan datang.

“Justeru, kita mesti menyediakan generasi yang beretika, mahir menggunakan teknologi dan faham kehendak masa hadapan,” ujarnya.

INFO

- DELIMa merupakan pelantar pembelajaran digital KPM yang dibangunkan untuk mengupayakan sesi PdP dalam talian.

- DELIMa mula diperkenalkan pada 1 Julai 2019 menerusi Bilik Darjah Google.

- Sehingga 4 Ogos lalu, sebanyak 99 peratus guru dan 85 peratus murid telah menggunakan DELIMa secara aktif melibatkan 5.3 juta pengguna.