Akaun Twitter rasmi Anwar digodam

Tangkap layar ciapan di Twitter Anwar pada Selasa.
Tangkap layar ciapan di Twitter Anwar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengendali akaun Twitter rasmi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa akaun sosial media pemimpin itu telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab pada petang Selasa.

“Petang tadi akaun Twitter rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim telah digodam oleh pihak-pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.

“Pihak pejabat sedang mengesan punca insiden ini. Buat masa sekarang, protokol keselamatan yang terbaru telah diaktifkan termasuk penukaran kata laluan pada semua akaun media sosial rasmi beliau,” menurut ciapan yang dikongsikan di Twitter Anwar pada Selasa.

Sebelum itu, tular tangkap layar ciapan dibuat di Twitter Anwar pada jam 4.41 petang yang berkongsikan sekeping gambar pertemuan antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ciapan tersebut turut menulis: "Silap, minta maaf Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) - You were right (Anda betul).”

Difahamkan ciapan tersebut dikeluarkan sebaik sahaja Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan membabitkan kes penyelewengan dana RM42 juta Syarikat SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya dalam kes tersebut.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan keputusan itu, Najib yang diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.