Pembangkang hormati keputusan Mahkamah Persekutuan

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang memaklumkan gabungan itu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya turut berasa lega dan mengucapkan penghargaan kepada hakim-hakim yang berani serta berwibawa membabitkan kes ini.

"Yang tunduk kepada fakta dan hukum, bukan tunduk kepada kuasa politik.

"Ingatlah rakyat, bila memutuskan dengan bijak, anak muda bila menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah," katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebooknya pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menyifatkan bahawa rakyat adalah berkuasa dan keputusan yang dibuat pada 2018 telah memastikan badan kehakiman bebas dan negara dibersihkan daripada rasuah.

"Keputusan rakyat inilah membolehkan pendakwaan profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta serta hukum, bukan mengikut telunjuk politik pihak berkuasa yang kita telah alami selama puluhan tahun," ujarnya.

Artikel Berkaitan: