Hujan renyai, tangisan penyokong iringi Najib

Penyokong Najib memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu sambil dikawal anggota polis.
Penyokong Najib memberikan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu sambil dikawal anggota polis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hujan renyai serta tangisan penyokong mengiringi kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak ke Penjara Kajang.

Laungan Hidup Najib oleh penyokong bekas Perdana Menteri itu bergema di sekitar pekarangan Mahkamah Persekutuan di sini.

Rata-rata penyokong yang ditemui berkata, biarpun kecewa, namun mereka akan tetap teguh di belakang Najib.

Penyokong yang mahu dikenali sebagai Ismail berkata, beliau amat sedih setelah mendapat khabar berkenaan keputusan itu.

Menurutnya, biarpun hatinya berat menerima keputusan tersebut, namun tetap akur dengan peruntukan undang-undang yang ada.

"Saya berdoa sepanjang malam memohon agar Najib diberikan kekuatan menghadapi semua ini.

"Sedih hati saya hanyalah ALLAH sahaja yang mengetahuinya," katanya.

Rahman, 40, pula berkata, beliau datang dari Klang semata-mata mahu memberikan sokongan kepada Najib.

Artikel Berkaitan:

"Terlalu besar jasa Najib kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia, saya tidak kisah sanggup berpanas atau berhujan asalkan dapat menyatakan sokongan kepada beliau.

"Saya berharap beliau dapat diadili dengan seadilnya, jauh di lubuk hati saya, sedih apabila beliau terpaksa menghadapi semua ini," katanya.

Hujan renyai-renyai mula membasahi sekitar kawasan Istana Kehakiman ini, namun penyokong Najib dilihat tidak berganjak.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, Najib diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.