Impian ibu tunggal miliki rumah tercapai

Kamariah (kiri) menerima replika penyerahan bantuan rumah daripada Azizul Rusmadi di Majlis Penyerahan Bantuan Rumah di Masjid Al-Falah, Sungai Tiang pada Selasa.
Kamariah (kiri) menerima replika penyerahan bantuan rumah daripada Azizul Rusmadi di Majlis Penyerahan Bantuan Rumah di Masjid Al-Falah, Sungai Tiang pada Selasa.
A
A
A

PENDANG - Seorang ibu tunggal di Kampung Belat Kubur Panjang di sini bersyukur kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri tercapai setelah permohonannya diluluskan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Kamariah Cha, 43, berkata, dia hilang tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung pada Januari tahun lalu.

Menurutnya, selepas kematian suami dia menumpang rumah adiknya selama beberapa bulan sebelum berpindah menumpang rumah ibu bapanya.

"Saya mempunyai tiga orang anak berusia antara lima hingga 13 tahun, mereka pun tidak selesa apabila menumpang rumah saudara.

"Jadi saya mula membuat permohonan rumah kepada LZNK pada Mac tahun lalu dan Alhamdulillah permohonan saya diluluskan pada Oktober," katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Rumah di Masjid Al-Falah,Sungai Tiang di sini pada Selasa.

Kamariah berkata, proses pembinaan rumah juga berjalan lancar dan dia dibenarkan masuk ke rumah baharu bernilai RM57,000 pada 20 Mac lalu.

"Alhamdulillah, rumah lengkap dengan elektrik, air serta ada tiga bilik, selesa untuk saya dan anak-anak berteduh.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai LZNK daerah dan semua yang terlibat kerana memudahkan urusan asnaf seperti saya untuk memiliki rumah yang selesa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Agihan dan Pembangunan Asnaf (LZNK), Azizul Rusmadi Abdul Rahman berkata, bagi bantuan pembinaan rumah asnaf salah satu kriteria yang ditekankan adalah nama pemohon perlu ada di dalam geran.

"Ini untuk memudahkan urusan selanjutnya di samping memastikan tiada isu berbangkit di kemudian hari berkaitan pemilikan rumah," katanya.

Menurutnya, terdapat tiga skim disediakan kepada asnaf di LZNK iaitu skim bina rumah, skim baik pulih rumah dan skim sewa rumah yang baharu diperkenalkan pada tahun ini.

"Bagi skim sewa rumah ini ada syarat tertentu yang perlu dipenuhi pemohon dengan kadar sewaan maksimum RM500 sebulan bagi tempoh dua tahun.

"Kemudian kita akan semak semula dan buat pemutihan, kalau dia layak kita teruskan sekiranya tidak dia perlu bayar sendiri," katanya.