Saiz RMR lebih kecil tak jejas hasrat pemohon miliki rumah

Husam (tiga dari kiri) menyampaikan kunci kepada pemilik Rumah Mesra Rakyat di Perlis pada Selasa.
Husam (tiga dari kiri) menyampaikan kunci kepada pemilik Rumah Mesra Rakyat di Perlis pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Langkah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengecilkan keluasan Rumah Mesra Rakyat (RMR) akibat peningkatan kos pembinaan dilihat tidak menjejaskan hasrat golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka.

Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata, keluasan RMR meliputi 1,000 kaki persegi sebelum ini dikecilkan kepada 750 kaki persegi dengan harga ditetapkan pada RM75,000 di seluruh negara dilihat masih berupaya memberi keselesaan kepada pemilik.

Menurutnya, langkah yang dilaksanakan sejak 2021 itu membolehkan SPNB mengimbangi tugas dalam menyediakan skim rumah mampu milik kepada pemohon di samping memberi peluang kepada kontraktor memperoleh sedikit keuntungan.

"Disebabkan kenaikan harga bahan binaan seperti kita semua tahu, simen dan besi telah meningkat, SPNB telah mencapai persetujuan supaya saiz rumah itu dikecilkan sedikit...namun masih lagi sebuah rumah yang selesa bagi ahli keluarga yang sederhana.

"Ia dilengkapi tiga bilik tidur, ada ruang tamu, dapur dan dua bilik air dengan keluasan 750 kaki persegi dengan harga pembinaan RM75,000," katanya dalam temu bual menerusi telefon bersama media selepas lawatan kerja ke Perlis dan Kedah pada Selasa.

Dalam lawatan sama, Husam turut menyerahkan kunci kepada pembeli rumah RMR di Perlis, selain meninjau projek SPNB dan kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di kedua-dua negeri.

Husam (depan, tengah) ketika mengadakan lawatan kerja ke Kedah dan Perlis pada Selasa.
Husam (depan, tengah) ketika mengadakan lawatan kerja ke Kedah dan Perlis pada Selasa.

Husam berkata, berdasarkan respon pemilik RMR yang telah siap di Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis menyatakan bahawa saiz rumah bukanlah isu utama bagi pemohon kerana kebanyakan mereka adalah golongan muda dan masih mempunyai bilangan ahli keluarga yang kecil.

“Tambahan pula, ada antara mereka memiliki sebidang tanah kecil yang sesuai dengan saiz rumah tersebut,” katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi SPNB pada Mac menjelaskan, syarikat itu juga akan mempertimbangkan permohonan untuk memiliki rumah lebih luas bagi pemohon berkemampuan namun dengan syarat bersetuju membayar kos tambahan pembinaan.

Melalui rekod, sebelum ini, semakan semula syarat kelayakan pemohon skim RMR telah meningkat daripada pendapatan isi rumah bulanan sebanyak RM3,000 kepada RM5,000.