PKR sedia hadapi PRU15 bila-bila masa

Dari kiri; Juwairiya, Manivanan dan Chean Chung menunjukkan logo Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 ketika sidang media di Pejabat PKR pada Selasa.
Dari kiri; Juwairiya, Manivanan dan Chean Chung menunjukkan logo Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 ketika sidang media di Pejabat PKR pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, kata Pengarah Komunikasinya, Lee Chean Chung.

Beliau berkata, penganjuran Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 yang bakal diadakan pada Sabtu ini merupakan satu gambaran signifikan berkenaan tahap persediaan parti itu.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan konvensyen ini adalah satu tanda penting bahawa PKR telah pun bersedia untuk hadapi PRU.

“Tidak kira ia diadakan dalam masa terdekat ataupun tahun depan,” katanya pada sidang media Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022 di Pejabat PKR di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, Manivanan Gowin dan Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli.

Chean Chung turut memaklumkan bahawa setakat ini seramai 10,000 sukarelawan pilihan raya telah mendaftar bersama PKR.

Dalam pada itu, Manivanan berkata, Konvensyen Pilihan Raya PKR kali ini akan diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor bermula jam 2 hingga 5 petang.

“Matlamat dan objektif utama konvensyen ini adalah menetapkan hala tuju strategi parti dalam memasuki PRU15, mengemas kini arahan persediaan kempen kepada seluruh lapisan jentera parti dan menyuntik semangat serta membentuk jati diri anggota sebagai persiapan memasuki PRU15,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Manivanan berkata, penyertaan konvensyen kali ini terbuka untuk semua lapisan pimpinan termasuk pimpinan pusat, negeri, cabang, pemuda, wanita, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), aktivis, akar umbi dan termasuk sukarelawan parti.

Menurutnya, konvensyen berkenaan juga akan dibahagikan kepada dua segmen dengan yang pertama membabitkan suara akar umbi manakala kedua suara pimpinan parti.

Katanya, dijangkakan seramai lima ke enam wakil akar umbi parti akan memberikan ucapan pada konvensyen tersebut.

“Suara pimpinan pula terdiri daripada ucapan dan amanat khas pilihan raya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan amanat strategi pilihan raya oleh Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli,” kata beliau.

Sidang media tersebut turut menyaksikan pelancaran Logo Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, yang berkonsepkan Suara Rakyat, Suara Keramat.