Dr Mahathir gesa Peguam Negara mula siasatan terhadap Apandi

Dr Mahathir, Mohamed Apandi
Dr Mahathir, Mohamed Apandi
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa untuk memulakan penyiasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kerana pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Idrus juga seharusnya tidak tunduk kepada saman Mohamed Apandi dan bersetuju membuat penyelesaian serta memberi pampasan.

"Saya berasa sangat kecewa dengan keputusan Peguam Negara yang bersetuju membuat penyelesaian dengan Mohamed Apandi yang menyaman saya dan kerajaan kerana memecatnya pada tahun 2018," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada April, dilaporkan kes saman difailkan Mohamed Apandi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia berhubung kontraknya sebagai Peguam Negara, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang mewakili Mohamed Apandi selaku plaintif dalam saman itu bagaimanapun berkata, terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Tambah Dr Mahathir, jika diteliti penghakiman yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azimah Omar pada 23 Mei 2022, amat jelas Mohamed Apandi telah gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara, malah disyaki terbabit dan bersubahat dalam skandal 1MDB.

"Sesiapa membaca penghakiman bertulis pada 23 Mei 2022 oleh Datuk Azimah Omar, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kes saman fitnah Mohamed Apandi Ali terhadap Lim Kit Siang pasti membuat kesimpulan bahawa Apandi gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara dan ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindungi jenayah 1MDB.

"Banyak lagi perkara yang ditimbulkan oleh Hakim Azimah di dalam penghakimannya yang mempersoal sikap dan tindakan Mohamed Apandi yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menutup skandal 1MDB dan menyucikan Datuk Seri Najib Razak.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk peranan Apandi menyokong cerita dongeng bahawa duit sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib adalah derma Raja Arab walaupun pegawai-pegawai yang dihantarnya ke Arab Saudi untuk menyiasat tidak dapat sebarang bukti bahawa derma itu dari mana-mana Raja Arab," jelasnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerajaan Malaysia juga seharusnya berasa malu melantik Mohamed Apandi yang didakwanya begitu 'tercemar' untuk mempengerusi apa-apa badan kerajaan termasuklah jawatankuasa siasatan isu Pulau Batu Putih.