Tun M terkejut saman Mohamed Apandi selesai luar mahkamah

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui terkejut susulan kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap kerajaan Malaysia dan beliau yang diselesaikan di luar mahkamah.

Dr Mahathir berkata, beliau selaku saksi utama juga tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian tersebut.

Beliau turut menulis surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan tidak bersetuju dengan cara penyelesaian itu dilaksanakan.

“Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian di luar mahkamah dibuat antara kerajaan dan Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan.

“Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat.

“Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada 13 April lalu, Sinar Harian melaporkan, kes saman difailkan Mohamed Apandi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang mewakili Mohamed Apandi selaku plaintif dalam saman itu bagaimanapun berkata, terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu turut mempersoalkan mengapa terma penyelesaian tersebut perlu dirahsiakan daripada rakyat.

“Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsiakan daripada saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pampasan.

“Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip Rule of Law (kedaulatan undang-undang).

“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun.

“Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” tegasnya.

Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama (Dr Mahathir) telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai Peguam Negara adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.