Mayat remaja Orang Asli ditemui dalam semak, disyaki dibunuh

Tangkap layar video di lokasi penemuan mayat mangsa yang tular di laman sosial.
Tangkap layar video di lokasi penemuan mayat mangsa yang tular di laman sosial.
A
A
A

KUANTAN - Tanda tanya berhubung kehilangan seorang remaja perempuan Orang Asli malam Ahad lalu terjawab selepas mayatnya ditemui dalam semak di lereng bukit berhampiran jalan masuk ke rumahnya di Bukit Ibam, Muadzam Shah pada petang hari yang sama.

Mayat mangsa berusia 14 tahun itu ditemui kira-kira jam 2.45 petang oleh salah seorang ahli keluarganya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala disyaki dibunuh.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, kehilangan mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dilaporkan bapanya di Balai Polis Bukit Ibam selepas remaja itu tidak pulang ke rumah pada malam kejadian.

Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa, polis klasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 320 Kanun Keseksaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Azahari berkata, susulan kejadian, pihaknya telah menahan tiga lelaki di Bukit Ibam pada Isnin bagi membantu siasatan.

"Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Rompin pada Selasa untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis di talian 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Abdul Khaliq Mustopa di talian 019-9999769," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: